Wednesday, November 29, 2006

keADILan semakin relevan

RANDAU ekonomi di Ipoh malam tadi berjaya menarik minat lebih 200 orang masyarakat Tionghua yang mewakili pelbagai pertubuhan dan persatuan di sekitar bandaraya Ipoh. Majlis dialog anjuran Parti Keadilan Rakyat Bahagian Gopeng dipengerusikan oleh Dr. Lee Boon Chye [baju biru], Naib Presiden manakala 3 orang ahli panel terdiri dari Saudara Tian Chua, Ketua Penerangan [kanan] ; Saudara Chan Ming Kai, Naib Ketua Bahagian Gopeng [kiri] dan saya sendiri.

Majlis dimulakan dengan tayangan video klip perbahasan beberapa orang perwakilan UMNO yang bermain dengan api perkauman semasa Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Saya diminta mengulas pendekatan ekstrem dan melampau yang diambil oleh UMNO semenjak kebelakangan ini. Saya menegaskan bahawa keresahan dan kebimbangan ini bukan saja menghantui orang bukan Melayu khususnya orang Tionghua tetapi juga orang Melayu. Golongan muda dan profesional Melayu merasakan tindakan liar beberapa kerat pemimpin Pemuda UMNO adalah untuk mengalih pandangan rakyat kepada isu sebenar hari ini iaitu rasuah dan penyelewengan di kalangan pemimpin elit UMNO. Pemimpin elit UMNO merasa tertekan kerana pengkhianatan mereka terhadap orang Melayu telah dibongkar oleh keADILan. Sokongan orang Melayu kepada UMNO semakin merosot. Sekurang-kurangnya, lojik yang digunapakai oleh UMNO hari ini dengan mencium keris dan melabelkan pengkritik DEB sebagai pengkhianat bangsa, tidak lagi boleh diterima oleh orang-orang Melayu. Saya juga berhujah bahawa ini adalah hasil kepimpinan Abdullah yang cukup lemah; tidak bersedia untuk berbincang secara terbuka dan rasional. Di samping itu, UMNO juga sedang berada di kemuncak perpecahan. Maka Hisham dan Khairy menjadi budak suruhan untuk melakonkan watak pejuang dan pembela orang Melayu bagi menagih simpati dan sokongan orang Melayu.

Saya mengulangi kenyataan bahawa DEB sudak 'dihijack' oleh golongan bangsawan dan elit UMNO. Majoriti orang Melayu masih terpinggir dan akan terus tersisih dalam agenda dan program pembangunan dalam RMK 9. DEB adalah lubok rasuah pemimpin elit UMNO.

Saya juga menjelaskan kesediaan keADILan untuk merangka satu dasar ekonomi yang menjaga kepentingan semua kaum tanpa mengorbankan kepentingan golongan majoriti. Fokus keADILan adalah untuk memacu pertumbuhan ekonomi dengan memperkasa ekonomi kelas menengah rendah. keADILan akan memastikan pengagihan kekayaan negara dibuat secara adil.
Isu bahasa ibunda dan pendidikan juga disentuh dalam perbincangan ini. Saya menegaskan bahawa saya mahu semua kaum di Malaysia ; Melayu, Tionghua, India dan kaum-kaum yang lain dapat menguasai Bahasa Melayu dengan baik selaras dengan kedudukannya sebagai Bahasa Kebangsaan. Tetapi, pada masa yang sama orang-orang Tionghua dan India mesti diberikan dan dijamin hak mereka untuk mengamalkan bahasa ibunda mereka khususnya di sekolah-sekolah jenis kebangsaan.

Pelbagai persoalan lain dikemukakan kepada saya : dasar perkauman UMNO, penghapusan undang-undang zalim seperti Akta Hasutan, statistik ASLI, pembebasan Anwar dan Sukma serta kesan kepada penyertaan Anwar dalam pilihan raya, DEB, amalan rasuah di kalangan pemimpin elit UMNO dan perbahasan UMNO yang tidak merangkumi dasar negara.

Saya juga sempat menjelaskan bahawa Perhimpunan Agung UMNO tidak bicara soal orang Melayu, apatah masalah rakyat. Ini jelas dapat disaksikan daripada kegagalan Presiden UMNO untuk bahas isu pekerja dalam Ucapan Dasar dan juga tidak membahaskan isu FTA secara terperinci supaya kepentingan negara tidak dikorbankan.

Yang menjadi keutamaan pemimpin UMNO ialah soal kontrak, tender, lesen dan wang.

Saya merumuskan dalam randau ini dengan mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama membawa perubahan dalam pilihan raya yang akan datang demi kesejahteraan anak-anak dan generasi yang akan datang. Masyarakat Tionghua dan India mesti memberikan sokongan kepada agenda perubahan yang dibawa oleh keADILan sebagai sebuah parti pelbagai kaum dan menolak parti yang mengamalkan dasar perkauman.

Kenyataan ini bukan sekadar slogan politik tetapi saya mengulangi penegasan bahawa ini adalah 'conviction' keADILan kepada rakyat Malaysia. Tidak ada jalan lain untuk Malaysia berjaya dalam persaingan global melainkan dengan berpaksikan kepada keadilan dan program kepeduliaan terhadap masalah rakyat.

Awal pagi ini, saya menerima sms dari Dr. Lee Boon Chye yang mengatakan bahawa maklum balas yang beliau terima susulan program malam tadi amat positif. Kita mesti terus berusaha dengan gigih. Saya yakin rakyat akan menilai dan menghargai perjuangan ini.

Tuesday, November 28, 2006

Randau Ekonomi

Malam ini, Selasa 28 November 2006, saya diundang oleh Dr. Lee Boon Chye untuk bertemu dan berbincang dengan masyarakat Tionghua di bandaraya Ipoh berhubung isu ekonomi dan masa depan negara.

Saya juga diminta untuk mengulas perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO yang bersifat perkauman sempit.

Saya akan berusaha untuk menjelaskan dasar perjuangan keADILan, mengapa keADILan perlu disokong oleh rakyat Malaysia dan menerangkan gagasan ekonomi yang dibawa oleh keADILan dengan menumpukan usaha untuk pacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan segar agar pengagihan kekayaan negara akan diagihkan secara adil.

Monday, November 20, 2006

Foto-foto di Hari Lebaran


Saya bersama isteri (Shida) dan anak-anak ketika rumah terbuka kami, 5 November lalu.

[lagi foto-foto di rumah terbuka]

Rayuan tangguh ke 2007

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini menangguhkan kes rayuan saya ke 26 Januari 2007. Penangguhan ini adalah atas permintaan pendakwaraya yang terpaksa menghadiri kursus.

Pendaftar mahkamah menyatakan bahawa mahkamah tidak dapat memberikan tarikh yang lebih awal memandangkan Hakim Mahkamah Tinggi Dato' Abdul Kadir Musa akan menunaikan haji.

Kita mendoakan semoga beliau mendapat haji yang mabrur dan dikurniakan kesejahteraan serta kesihatan yang baik.

Sunday, November 19, 2006

Kebangkitan di Kampong Tehel

Semalam, 19 November 2006, saya memenuhi jemputan teman-teman di negeri Melaka. Saya tiba di Tangga Batu pada jam 6.00 petang untuk menghadiri Jamuan Eidul Fitr anjuran keADILan Bahagian Tangga Batu yang dipimpin oleh Lt. Kol. (B) Hashim Puteh. Hujan lebat tidak melunturkan semangat aktivis parti dan rakyat untuk bersama-sama meraikan majlis ini yang diadakan di Klebang Besar, Melaka. Turut hadir, Pengerusi Perhubungan, Hajjah Zainon Jaafar. Selesai jamuan dan ucapan, saya menunaikan solat Maghrib berjamaah di rumah Saudara Hashim Puteh.

Sejurus kemudian, saya bergegas ke Jasin untuk menghadiri satu lagi majlis sambutan Eidul Fitr dan ceramah anjuran keADILan Bahagian Jasin yang diketuai oleh Saudara Shamsul Iskandar Md. Akin yang juga adalah Pemangku Angkatan Muda Nasional. Setibanya saya di Kg. Tehel, Jasin, saya disambut oleh Puan Mahani, Setiausaha Bahagian dan teman-teman pimpinan serta penduduk tempatan.

Sebaik sahaja saya mengambil tempat di anjung rumah Iskandar, seorang penduduk tempatan yang berusia dalam lingkungan 70an membisikkan kepada saya; "Saudara Azmin, kamu masuk kubu UMNO." Saya tersentak tetapi berlapang dada untuk mendengar cerita orang kampong seterusnya.

Rupa-rupanya Kg. Tehel adalah sebuah kampong yang merupakan kubu kuat UMNO secara tradisinya. Belum pernah parti-parti pembangkang sebelum ini berjaya untuk membolosi kampong tersebut. Kehadiran saya adalah program sulung memecah tradisi ini dan diterima baik oleh masyarakat kampong. Barulah saya faham dan lega.

Saya merasa cukup gembira melihat kehadiran yang begitu menggalakkan pada malam tersebut. Saya dapat melihat kejernihan dan kejujuran di wajah setiap tetamu yang mahukan perubahan. Saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana penduduk Kg. Tehel bangkit dengan semangat baru untuk bersama-sama keADILan. Ramai anak-anak muda yang hadir untuk mendengar kupasan isu-isu semasa dari pimpinan termasuk Saudara Syed Shahir, Presiden MTUC yang juga Ketua Bahagian keADILan Kelana Jaya, Saudara Shamsul Iskandar dan Saudara Kamaruddin Sidek, Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka. Mereka yakin dasar-dasar yang dibawa oleh keADILan adalah dasar yang bersifat kepeduliaan terhadap rakyat.

Saya sempat mengupas gagasan ekonomi baru yang dicetuskan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan dibantu oleh Tan Sri Khalid Ibrahim, seorang usahawan Melayu tulin yang kini menjadi Bendahari Agung keADILan. Agenda ekonomi ini akan menjamin kepentingan semua kaum secara adil tanpa mengorbankan kepentingan orang Melayu. keADILan akan fokus terhadap usaha untuk memacu pertumbuhan ekonomi. keADILan juga akan memperkasa kuasa ekonomi golongan kelas menengah rendah. Dan pastinya kita akan menjaga kepentingan golongan yang terbanyak termasuk kepentingan golongan pekerja.

Saya menyaksikan kekuatan penduduk-penduduk Kg. Tehel yang berani membawa perubahan demi kesejahteraan rakyat di Melaka.

Reformasi berputik dan bersinar di Kg. Tehel.

Saturday, November 18, 2006

Rayuan Mahkamah Tinggi Ditangguh

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur yang sepatutnya mendengar rayuan saya pada 21 November 2006 menangguhkan sekali lagi prosiding rayuan ke satu tarikh yang belum ditetapkan. Menurut peguam saya, Encik C.V. Prabhakaran, pihak pendakwaraya mengemukakan permohonan penangguhan atas alasan Jabatan Peguam Negara sibuk dengan seminar.

23 April 1999: saya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan memberi keterangan palsu ketika menjadi saksi utama dalam perbicaraan kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim di hadapan Augustine Paul pada 9 Mac 1999. Itu kata mereka!

Di akhir peringkat pendakwaan, mahkamah membebaskan dan melepaskan saya dari pertuduhan ini. Dalam penghakiman Hakim Mahkamah Sesyen Hamdan Indah pada 13 Julai 1999, “mahkamah bersetuju bahawa keterangan Azmin hendaklah dilihat secara keseluruhan dalam kontek perbicaraan tersebut.” Menurut Hakim Hamdan Indah lagi, “daripada rekod perbicaraan, mahkamah juga tidak mendapati keterangan yang menunjukkan Azmin telah dikatakan sebagai saksi palsu atau telah bercakap bohong. Dengan itu, mahkamah memutuskan pendakwaraya telah gagal untuk membuktikan satu prima facie kes seperti pertuduhan. Azmin dibebaskan dan dilepaskan tanpa memanggilnya untuk membela diri.”

Peguam-peguam saya berhujah dengan meyakinkan mahkamah bahawa keterangan yang saya buat di hadapan Augustine Paul adalah dalam bentuk indirect speech berhubung tindakan dan ugutan pihak polis semasa dalam tahanan mulai 16 September 1998 adalah terlalu kejam. Memaksa saya membuat pengakuan tidak berasas yang melibatkan Saudara Anwar Ibrahim. Hujah ini disokong oleh saksi utama pendakwaraya sendiri iaitu Majistret Azhar Othman. Majistret Azhar bersetuju bahawa keterangan atau pernyataan yang dikatakan oleh saya ketika prosiding lanjutan tahanan reman di hadapan beliau membawa maksud bahawa tindakan pihak polis terhadap saya memanglah kejam, bersifat ugutan dan paksaan.

Tidak lama kemudian, saya difahamkan Hakim Hamdan Indah yang membebaskan saya ditukarkan ke tempat lain. Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan pada 14 Februari 2000 di hadapan Hakim Wahab Patail untuk membuka semula kes ini dan memohon supaya saya dipanggil untuk membela diri. Bantahan saya supaya Wahab Patail tidak mendengar kes ini ditolak. Bantahan ini berasaskan kepada hujah bahawa Gani Patail (adik Wahab Patail) adalah pendakwaraya yang mengendalikan kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Dalam tempoh 2 hari, pada 17 Februari 2000, Wahab Patail bukan sahaja membenarkan rayuan Jabatan Peguam Negara tetapi juga mengarahkan majistret yang baru untuk meneruskan kes ini di peringkat pembelaan dan bukan Hakim Hamdan Indah.

Hakim Mahkamah Sesyen Akhtar Tahir diarah pula mendengar kes pembelaan saya yang bermula pada 10 Mac 2000. Sayugia diingat, Akhtar Tahir adalah hakim yang mengendalikan kes Rahim Noor, bekas Ketua Polis Negara yang mengaku memukul Anwar Ibrahim dengan niat mencederakannya. Hakim Mahkamah Rayuan Shaikh Daud pernah membidas Akhtar Tahir berhubung cara beliau mengendalikan kes Rahim Noor.

2 Mei 2001: Akhtar Tahir telah mendapati bahawa saya bersalah kerana memberikan keterangan palsu dan menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan. Akhtar Tahir juga meningkatkan jumlah ikat jamin kepada RM20 ribu walaupun tidak dipohon oleh mana-mana pihak, termasuk pendakwaraya.

Peguam-peguam saya segera memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Rayuan ini memakan masa lebih 5 tahun sehingga saya dihalang menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum ke 11 pada 2004. Alasannya rayuan saya masih didengar di Mahkamah Tinggi.

Saya berdoa semoga rayuan saya diterima berdasarkan hujah-hujah dan bukti-bukti yang diberikan oleh peguam-peguam saya yang turut dibantu oleh Encik Christopher Fernando.

Saya juga berterima kasih kepada teman-teman dan para pendukung keadilan yang sering menemani saya ke mahkamah. Sokongan dan dokongan semua menguatkan lagi semangat saya untuk meneruskan perjuangan ini.

Kita yang merancang dan berusaha yang tiada putus, sepotong ingatan al-Quran selalu saya ingat: "...akhirnya perancangan Tuhan jua yang akan terlaksana."

AL FATIHAH... Perginya seorang teman sejati

Ketika sedang menghadiri satu majlis di Bandar Tasek Puteri, Rawang pada 11 November 2006 yang lalu, saya tersentak mendapat berita sedih bahawa sahabat lama saya, Dr. Ahmad Shah Mohd Noor meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya di India. Kemalangan itu berlaku ketika beliau dalam perjalanan untuk menghadiri program rasmi Bank Pembangunan Islam (IDB) di Universiti Aligarh.

Saya segera menghubungi Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Anwar ketika itu berada di Washington D.C. Namun, Anwar lebih awal telah dimaklumkan oleh Ketua Jabatan di IDB, Rahman Al-Ajmi; begitulah cepatnya Anwar dapat berita, dan jaringan antarabangsa yang beliau ada... Kebetulan ketika saya menghubungi Anwar, beliau sedang bersiap untuk berlepas ke New Delhi bagi menghadiri Persidangan Ekonomi India-Arab bersama Menteri Kewangan India, P. Chidambaram.

Anwar tiba di India seawal 1.25 pagi, 13 November. Sebaik selesai majlis perasmian persidangan pada sebelah pagi 13 November, Anwar bergegas ke Rumah Mayat untuk menziarahi jenazah Dr. Ahmad Shah. Terus pula menelefon saya, katanya, ada usaha beberapa kerat pegawai kedutaan Malaysia yang menegur teman-temannya di India mengapa mereka memaklumkan insiden ini kepada Anwar!

Dr. Ahmad Shah [foto kiri] adalah rakan sepejabat saya di Jabatan Perdana Menteri. Beliau adalah Pegawai Khas kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim manakala saya memikul amanah sebagai Setiuasaha Sulit. Saya amat senang bekerja dengan beliau.

Sepanjang pengenalan, Dr. Ahmad Shah adalah seorang yang dedikasi, komited dan berpegang teguh kepada prinsip dan tuntutan agama. Memiliki perwatakan lembut. Hatinya mulia. Pada usia muda, Dr. Ahmad Shah terlibat dengan gerakan Islam seperti PKPIM dan ABIM.

Jenazah Allahyarham Dr. Ahmad Shah tiba di KLIA pada 14 November lalu, jam 7 pagi. Setelah urusan di KLIA selesai, jenazah dibawa ke Masjid Putrajaya untuk disembahyangkan.

Saya bergegas ke sana. Bersama-sama ratusan kenalan lain menyempurnakan Solat Jenazah. Solat Jenazah diimamkan oleh anak Allahyarham, Umar. Kehadiran yang begitu ramai memenuhi dewan utama Masjid Putrajaya menjadi tanda yang Allahyarham adalah seorang yang mempunyai ramai kawan dan disenangi semua pihak. Saya sempat juga berjumpa dan berbual-bual dengan ramai pegawai tinggi kerajaan dan sahabat-sahabat lama dari ABIM dan gerakan Islam. Allahyarham meninggalkan 6 orang anak; 3 lelaki, 3 perempuan.

Jenazah dibawa pulang ke Padang Rengas untuk disemadikan... petang itu, saya amat merasa kehilangannya.

Mari kita berdoa semoga Allahyarham Dr. Ahmad Shah Mohd Noor dicucuri rahmat dan maghfirah oleh Allah S.W.T. Mendapat “husnul khatimah” iaitu akhir yang baik dan ditempatkan di dalam syurga yang penuh ni’mat.

Saya juga berdoa semoga keluarga Allahyarham khususnya isteri dan anak-anak beliau dicucuri oleh Allah S.W.T. dengan kesabaran dan ketenangan yang mendalam serta redha terhadap takdir yang ditentukanNya. Amin.

Open House

SAYA dan isteri, Shida rasa amat gembira dapat bertemu sanak saudara serta sahabat handai dan merakamkan ucapan terima kasih di atas kesudian para tetamu meraikan Majlis Rumah Terbuka sempena Eidul Fitr di kediaman kami di Taman Tun Abdul Razak, Ampang pada 5 November 2006 yang lalu. Kali terakhir kami anjurkan majlis yang serupa di kediaman kami ialah pada 21 Disember 2003.

Walaupun hujan lebat lewat petang, majlis yang bermula jam 2 petang tidak putus-putus menerima kunjungan tetamu yang dianggarkan lebih 2 ribu orang. Maaf kalau makanan yang disediakan tidak mencukupi untuk tetamu yang tiba selepas jam 5 petang.

Kami juga gembira dapat bertemu dengan teman-teman sekuliah semasa di University of Minnesota, pimpinan politik, aktivis reformasi dan pendukung keadilan, tokoh-tokoh korporat muda dan golongan profesional, diplomat asing dan tempatan, jiran tetangga serta teman-teman dari NGOs. Teman-teman sekolah anak-anak kami juga ramai yang hadir. Pertemuan muhibbah ini di kalangan pelbagai kaum pasti dapat mengeratkan lagi persahabatan kita.

Pelbagai juadah kami sediakan untuk tetamu. Saya sendiri memasak rendang sebanyak 15 kg! Namanya "Rendang Chef Min"! Saya kupas bawang, halia, lengkuas dan menumis ramuan-ramuannya. Lapan jam di dapur untuk siapkan rendang. Habis hangik bau satu badan! Resepi rendang ini diturunkan oleh ibu saya yang turut hadir dalam majlis itu. Kata ibu untuk rendang saya, “ok!”

Saya juga menyediakan cheese cake. Resepinya milik Kak Wan, Presiden keADILan. Saya namakan kek ini “Cheese Cake Kak Wan”. Memang lazat.

Sebelum akhir, ada serangkap pantun—semoga persahabatan kita dan seluruh tetamu yang hadir berkekalan dan bertambah ceria.

Biar sepetang jatuh mentari,
Hendak singgah teman berjamu,
Biar datang seribu hari,
Mana sama hari bertemu.


Kami pohon maaf sekiranya tidak dapat memberikan layanan yang sempurna di hari yang mulia ini.

Sebelah malam, saya panggil kawan lama… minta urut otot yang longlai, jadinya!

Friday, November 17, 2006

Anwar Jawab Fitnah UMNO

PENASIHAT keADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan mengulas dan menjawab segala tuduhan dan fitnah UMNO di dalam perhimpunan perdana pada 21 November 2006 (Selasa), jam 9 malam. Ribuan dijangka hadir untuk mendengar sendiri pendedahan dan ulasan Anwar di Sungai Lalang, Batu 21, Pekan Semenyih, Selangor.

Majlis ini bakal menyaksikan dan disertai oleh mantan Timbalan Menteri Besar Selangor, Dato’ Zainal Abidin Ahmad dan tokoh korporat tulin Melayu, Tan Sri Khalid Ibrahim yang kini merupakan Bendahari Agung keADILan.

Saya mengajak seluruh rakyat, termasuk ahli UMNO akar umbi untuk menyertai perhimpunan ini yang diadakan juga sempena hari lebaran Eidul Fitr.

Anwar pasti akan memberikan keterangan yang hebat terhadap segala tuduhan dan fitnah yang dilemparkan oleh elit-elit UMNO.

Friday, November 03, 2006

Media Dikerah Putar Belit Kenyataan Anwar


SAYA terpanggil memberikan komen selepas menerima SMS dan panggilan telefon bertali arus bertanyakan mengenai ‘saranan’ Penasihat Keadilan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kononnya memberi kenyataan untuk membuka ruang kepada bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohammad untuk bersama pembangkang, termasuklah bersama Parti Keadilan Rakyat.

Sehubungan itu, pembantu Anwar, saudara Nik Nazmi Nik Ahmad telah segera membuat kenyataan rasmi bagi pihak Pejabat Anwar Ibrahim yang disiarkan di dalam blog Anwar.

Kita harus ingat bahawa di negara ini, kebertanggungjawaban dan kredibeliti media utama memang terus diragui. Kita lihat bagaimana hari ini hampir semua media perdana memainkan berita berkenaan, yang mana kenyataan Anwar itu dipetik sewaktu majlis rumah terbuka anjuran Keadilan di Terengganu. Saya tegaskan, tatkala itu, Anwar ditanya secara khusus oleh wartawan mengenai kemungkinan parti-parti pembangkang menerima Dr Mahathir sebagai penasihat. Sebagai seorang yang jelas terhadap prinsip kebebasan dan demokrasi, sudah tentulah jawapan Anwar "terpulang kepada pemimpin-pemimpin parti-parti pembangkang."

Namun, sejak awal pendirian Keadilan cukup konsisten, iaitu kita menolak kerjasama dengan bekas perdana menteri itu dan ia bukan atas sifat dendam secara peribadi. Dalam masa yang sama, kita tidak mudah lupa bagaimana luluh lantak dan rosaknya sistem politik dan kenegaraan yang ditinggalkan Dr Mahathir. Kerosakkan sistem masyarakat madani inilah yang tidak putus-putus sedang kita usaha perbaiki atas nama "islah", "reformasi" dan "perubahan" untuk mengembalikan maruah rakyat dan negara.

Saya ingin menambah, Dr Mahathir jualah manusia yang menyuburkan sentimen perkauman, assabiyah dan memecah-belahkan perpaduan umat Melayu. Malah, demi kepentingan politik, Dr Mahathir tergamak memperlekeh agama Islam.

Selain rasuah dan penyelewengan, "negara polis" ("police state") adalah bencana yang Dr Mahathir tinggalkan untuk rakyat Malaysia sebagai legasi pemerintahan beliau selama 23 tahun. Keadilan kesal sekali apabila kepimpinan hari ini, termasuk oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tidak sedikit pun merasa berdosa untuk meneruskan kebejatan serupa, termasuk menunggang media. Abdullah jelas keliru selain tidak berupaya untuk kembali membangunkan sistem masyarakat madani yang diasaskan sejak negara merdeka. Kita sedar, perbalahan Dr Mahathir-Abdullah adalah untuk menguasai sumber kekayaan negara, dan bukannya untuk perjuangan yang mulia dan kepedulian terhadap rakyat.

Sungguhpun kita perlu menghormati hak Dr Mahathir—sepertimana umumnya hak seseorang warganegara Malaysia—untuk bersuara dan memberikan pandangan, bahkan beliau juga berhak untuk menyertai mana-mana parti politik, namum sebagai sebuah parti dan pakatan yang berprinsip dan percaya kepada ketulusan demokrasi, Keadilan dan parti-parti rakan seperti Pas dan DAP harus sentiasa berwaspada dan berhati-hati, termasuk dengan puta belit beberapa media yang dikerah oleh pemimpin tertinggi negara. Dengan sikap Dr Mahathir terhadap kerajaan hari ini, kita percaya bahawa media perdana sengaja untuk menggambarkan atau cuba menampal wajah Dr Mahathir di atas imej pembangkang. Dengan cara ini, bukan sahaja kerajaan boleh menyatakan bahawa Dr Mahathir sudah bersekongkol dengan pembangkang, tetapi kekuatan dan imej pembangkang juga dengan sendirinya akan tercalar di mata rakyat jelata.

Saranan kita terhadap Dr Mahathir ialah beliau perlu diberikan nasihat; bukan menjadi penasihat. Beliau perlu lebih tawaduk untuk mendengar pandangan orang lain; bukan terus angkuh dan sombong dengan sikap ego dan bongkok sejak sekian lama. Saya mengulangi pendirian bahawa Keadilan tidak nampak sedikit pun keperluan untuk menjulang Dr Mahathir untuk aktif bersama pembangkang, apatah lagi bersama Keadilan. Kami juga percaya bahawa semua parti pembangkang, baik Keadilan, Pas dan DAP yang tidak ketandusan kepimpinan yang utuh akhlaknya, berkeperibadian tinggi, serta berprinsip jelas.

Justeru itu, saya mengajak seluruh rakyat Malaysia agar tidak terpukau dan terperangkap dengan putar belit media utama milik Barisan Nasional (BN) yang terus cuba menegakkan benang basah.


Kuala Lumpur,
3 November 2006