Saturday, March 24, 2007

SAYA TIDAK RAKUS POLITIK

KENYATAAN MEDIA MOHAMED AZMIN ALI PADA 21 MAC 2007 BERHUBUNG PEMILIHAN KEPIMPINAN PARTI DALAM KONGRES 2007


Sejak pengumuman rasmi Dr. Syed Husin Ali dalam Kongres Tahunan 2006 untuk tidak bertanding jawatan Timbalan Presiden, ramai ahli-ahli parti dan teman-teman dalam parti telah menanyakan pendirian saya tentang pemilihan dalam Kongres Parti pada tahun ini dan ada yang mencadangkan agar saya menawarkan khidmat untuk jawatan Timbalan Presiden. Saya menyatakan terima kasih dengan pernyataan kepercayaan mereka, namun saya menegaskan bahawa saya belum bersedia memikirkan perkara tersebut dan meminta tenaga dan perhatian ditumpukan sepenuhnya untuk memperkasa keADILan dan mengukuhkan perpaduan di dalam parti.

Meskipun begitu saya terus mendepani dengan persoalan pemilihan sehingga ia menjadi perbualan di pelbagai peringkat parti. Maklumbalas dari teman-teman serta pimpinan pelbagai peringkat menyatakan sikap bahawa sementara mereka tetap menghormati dan menyanjung sumbangan dan pengorbanan Dr. Syed Husin Ali tetapi mereka prihatin dan inginkan kesinambungan perjuangan. Pandangan ini dan gesaan mereka yang dinyatakan semakin terbuka di kebelakangan ini.

Saya bersyukur dan berterima kasih di atas keyakinan ahli-ahli parti di seluruh negara yang terus mencalonkan saya sebagai Timbalan Presiden dalam Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian masing-masing menjelang Kongres Tahunan parti pada bulan Mei yang akan datang. Sehingga hari ini, jumlah pencalonan yang saya terima amat memberangsangkan; justeru meyakinkan saya bahawa prinsip dan amalan demokrasi amat subur dalam keADILan. Saya sendiri berpegang teguh kepada prinsip ini dan menyeru ahli-ahli parti untuk memakmurkan amalan demokrasi dalam parti dan menjaga etika dalam proses ini. Saya percaya pernyataan sokongan yang saya terima dari ahli-ahli parti adalah berdasarkan keyakinan dan penghargaan mereka di atas sumbangan saya dan rekod kerja saya dalam usaha memperkasa parti dari awal penubuhan keADILan pada tahun 1999.

Namun, pada awal bulan Februari 2007, Dr. Syed Husin menyatakan kesediaan beliau untuk melanjutkan khidmatnya sebagai Timbalan Presiden dalam kongres akan datang. Saya menghormati dan menghargai kesediaan Dr. Syed Husin untuk terus berkhidmat dalam saf kepimpinan utama parti.

Sementara saya akur dengan kehendak dan keperihatinan ahli-ahli parti, saya juga berpegang teguh kepada pendekatan muafakat demi keharmonian parti. Saya telah berbincang dari awal lagi dengan YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail, Presiden keADILan dan Penasihat keADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta beberapa pimpinan parti di peringkat akar umbi untuk memastikan kesinambungan kepimpinan parti mantap dengan pasukan yang dinamik dan mampu memperkasa parti.

Saya terdorong dengan iltizam untuk menerima gesaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk membantu beliau dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang bagi menjayakan agenda perubahan. Usaha ini memerlukan gabungan kekuatan dan pengalaman silam serta keberanian dan kebijaksanaan baru; tegasnya gabungan tua dan muda; memadukan segenap lapisan rakyat, bandar dan desa, petani dan nelayan, pendidik dan pekerja, usahawan dan budayawan, cendekiawan dan teknokrat, untuk bergerak sebagai satu pasukan.

Demi menangani cabaran Pilihan Raya Umum ke 12, Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Penasihat telah mengambil initiatif membentuk Jawatankuasa Pemandu (JKP) Pilihan Raya Umum. Jawatankuasa ini memerlukan keupayaan tenaga yang mantap untuk menjayakan hasrat parti dan harapan rakyat agar keADILan memimpin agenda perubahan dan memenangi Pilihan Raya Umum yang akan datang. Saya diberikan tanggungjawab untuk memantapkan matlamat utama JKP iaitu melaksanakan strategi pilihan raya yang komprehensif yang meliputi strategi komunikasi yang berkesan, menggarap sokongan baru di kalangan generasi muda dan golongan profesional, menggubal manifesto rakyat yang merangkumi isu kepimpinan negara, ekonomi, pendidikan dan kesihatan, serta mengenal pasti kawasan-kawasan tumpuan dan calon-calon muda pelbagai kaum yang berwibawa dan komited dengan perjuangan keADILan.

Menyedari hakikat ini maka saya dengan penuh keinsafan mengambil pendirian untuk tidak bertanding jawatan Timbalan Presiden dan apa-apa jawatan sekalipun dalam pemilihan pucuk pimpinan parti pada tahun ini. Saya menyeru kepada seluruh ahli-ahli parti untuk memberikan sokongan yang kuat dan padu kepada Dr. Syed Husin Ali sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat.

Saya akan terus memberi khidmat saya kepada parti dan menyeru ahli-ahli parti juga mengambil pendirian yang sama agar kita dapat bergerak senada dan sederap.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home