Friday, November 03, 2006

Media Dikerah Putar Belit Kenyataan Anwar


SAYA terpanggil memberikan komen selepas menerima SMS dan panggilan telefon bertali arus bertanyakan mengenai ‘saranan’ Penasihat Keadilan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kononnya memberi kenyataan untuk membuka ruang kepada bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohammad untuk bersama pembangkang, termasuklah bersama Parti Keadilan Rakyat.

Sehubungan itu, pembantu Anwar, saudara Nik Nazmi Nik Ahmad telah segera membuat kenyataan rasmi bagi pihak Pejabat Anwar Ibrahim yang disiarkan di dalam blog Anwar.

Kita harus ingat bahawa di negara ini, kebertanggungjawaban dan kredibeliti media utama memang terus diragui. Kita lihat bagaimana hari ini hampir semua media perdana memainkan berita berkenaan, yang mana kenyataan Anwar itu dipetik sewaktu majlis rumah terbuka anjuran Keadilan di Terengganu. Saya tegaskan, tatkala itu, Anwar ditanya secara khusus oleh wartawan mengenai kemungkinan parti-parti pembangkang menerima Dr Mahathir sebagai penasihat. Sebagai seorang yang jelas terhadap prinsip kebebasan dan demokrasi, sudah tentulah jawapan Anwar "terpulang kepada pemimpin-pemimpin parti-parti pembangkang."

Namun, sejak awal pendirian Keadilan cukup konsisten, iaitu kita menolak kerjasama dengan bekas perdana menteri itu dan ia bukan atas sifat dendam secara peribadi. Dalam masa yang sama, kita tidak mudah lupa bagaimana luluh lantak dan rosaknya sistem politik dan kenegaraan yang ditinggalkan Dr Mahathir. Kerosakkan sistem masyarakat madani inilah yang tidak putus-putus sedang kita usaha perbaiki atas nama "islah", "reformasi" dan "perubahan" untuk mengembalikan maruah rakyat dan negara.

Saya ingin menambah, Dr Mahathir jualah manusia yang menyuburkan sentimen perkauman, assabiyah dan memecah-belahkan perpaduan umat Melayu. Malah, demi kepentingan politik, Dr Mahathir tergamak memperlekeh agama Islam.

Selain rasuah dan penyelewengan, "negara polis" ("police state") adalah bencana yang Dr Mahathir tinggalkan untuk rakyat Malaysia sebagai legasi pemerintahan beliau selama 23 tahun. Keadilan kesal sekali apabila kepimpinan hari ini, termasuk oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tidak sedikit pun merasa berdosa untuk meneruskan kebejatan serupa, termasuk menunggang media. Abdullah jelas keliru selain tidak berupaya untuk kembali membangunkan sistem masyarakat madani yang diasaskan sejak negara merdeka. Kita sedar, perbalahan Dr Mahathir-Abdullah adalah untuk menguasai sumber kekayaan negara, dan bukannya untuk perjuangan yang mulia dan kepedulian terhadap rakyat.

Sungguhpun kita perlu menghormati hak Dr Mahathir—sepertimana umumnya hak seseorang warganegara Malaysia—untuk bersuara dan memberikan pandangan, bahkan beliau juga berhak untuk menyertai mana-mana parti politik, namum sebagai sebuah parti dan pakatan yang berprinsip dan percaya kepada ketulusan demokrasi, Keadilan dan parti-parti rakan seperti Pas dan DAP harus sentiasa berwaspada dan berhati-hati, termasuk dengan puta belit beberapa media yang dikerah oleh pemimpin tertinggi negara. Dengan sikap Dr Mahathir terhadap kerajaan hari ini, kita percaya bahawa media perdana sengaja untuk menggambarkan atau cuba menampal wajah Dr Mahathir di atas imej pembangkang. Dengan cara ini, bukan sahaja kerajaan boleh menyatakan bahawa Dr Mahathir sudah bersekongkol dengan pembangkang, tetapi kekuatan dan imej pembangkang juga dengan sendirinya akan tercalar di mata rakyat jelata.

Saranan kita terhadap Dr Mahathir ialah beliau perlu diberikan nasihat; bukan menjadi penasihat. Beliau perlu lebih tawaduk untuk mendengar pandangan orang lain; bukan terus angkuh dan sombong dengan sikap ego dan bongkok sejak sekian lama. Saya mengulangi pendirian bahawa Keadilan tidak nampak sedikit pun keperluan untuk menjulang Dr Mahathir untuk aktif bersama pembangkang, apatah lagi bersama Keadilan. Kami juga percaya bahawa semua parti pembangkang, baik Keadilan, Pas dan DAP yang tidak ketandusan kepimpinan yang utuh akhlaknya, berkeperibadian tinggi, serta berprinsip jelas.

Justeru itu, saya mengajak seluruh rakyat Malaysia agar tidak terpukau dan terperangkap dengan putar belit media utama milik Barisan Nasional (BN) yang terus cuba menegakkan benang basah.


Kuala Lumpur,
3 November 2006

2 Comments:

Blogger Najwan Halimi said...

encik azmin,

saya teruja nampak encik di masjid ttdi waktu solat jumaat 2 minggu lepas.

masa tu saya tengah beratur nak beli cendol dan encik baru sampai.

saya perasan yg wajah encik ni cukup familiar masa zaman saya sekolah menengah dulu. selalu keluar paper dan keluar masuk lokap.dan alhamdulillah dapat juga saya bersalam dengan encik. bangga tak terkata time tu.

besar harapan andaikata kalau saya dapat bertemu ezam,tian chua dan aktivis keadilan yang lain.paling nak jumpa ialah datuk seri anwar ibrahim.saya pengkagum beliau sejak bangku sekolah rendah lagi namun sehingga kini belum pernah berjumpa. =(

sekadar meluahkan perasaan.itu saja. =)

9:26 AM  
Blogger Azmin Ali said...

Kepada saudara "gogolak"...

Saya ingin menegaskan sekali lagi supaya kita tidak membuang masa melayan propaganda Umno dan SB, yang tidak habis-habis cuba melaga-lagakan saya dengan saudara Ezam. Saya sudah mendengar cerita yang sama, dan tidak lagi berminat untuk melayannya.

Seperkara lagi, Anwar sendiri berulang kali menegaskan beliau tidak berhasrat untuk menyertai Umno dan berpegang kepada prinsip atau cita-cita untuk meneruskan agenda reformasi melalui Parti Keadilan Rakyat (keADILan).

Kepada saudara Najwan Halimi pula,

Saya sangat terharu dengan sokongan yang ditunjukkan saudara. Ingat saya masih segar membayangkan pertemuan kita di masjid Taman Tun Dr Ismail (TTDI) tempohari. Harapan dan doa saya ialah hendaknya anak-anak muda seperti saudara akan terus bersama di dalam perjuangan ini. Sampaikan juga salam saya kepada seisi keluarga sempena hari lebaran Eidul Fitr.

Saya boleh dihubungi atau sms di talian: 012 205 2020. Harap-harap ikatan hubungan ini dapat berterusan, amin.

10:37 AM  

Post a Comment

<< Home