Saturday, March 24, 2007

JKP : keADILan bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke 12

Tarikh Pilihan Raya Umum ke 12 terus menjadi teka teki. Bahang pilihan raya semakin panas. Faktor Anwar Ibrahim menjadi perbualan di pelbagai peringkat masyarakat samada di kedai kopi mahupun pejabat-pejabat kerajaan; di gedung-gedung korporat mahupun di pusat-pusat pengajian tinggi. Masyarakat Malaysia di bandar dan desa, petani dan nelayan, pendidik dan pekerja, usahawan dan budayawan, cendekiawan dan teknokrat terus yakin bahawa faktor kepimpinan Anwar akan membawa perubahan besar dalam pilihan raya umum yang akan datang. Yang menyanggah hanya pemimpin elit UMNO; yang sebenarnya semakin menikus dengan kelantangan Anwar yang petah bicara dan bahas isu-isu rakyat.

Demi menangani cabaran Pilihan Raya Umum ke 12, keADILan terus maju ke hadapan dengan pembentukan Jawatankuasa Pemandu (JKP) atau 'steering committee' yang diketuai oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim. JKP dianggotai oleh 5 badan utama parti iaitu Wanita, Angkatan Muda, Penerangan, MTK dan Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat atau JPRP. Matlamat utama JKP ialah melaksanakan strategi pilihan raya yang komprehensif yang meliputi strategi komunikasi yang berkesan, menggarap sokongan baru di kalangan generasi muda dan golongan profesional, menggubal manifesto rakyat yang merangkumi isu kepimpinan negara, ekonomi, pendidikan dan kesihatan, serta mengenal pasti kawasan-kawasan tumpuan dan calon-calon muda pelbagai kaum yang berwibawa dan komited dengan perjuangan keADILan. Saya diberikan amanah untuk membantu mengukuhkan perlaksanaannya.

Senarai kawasan-kawasan tumpuan yang berpotensi untuk keADILan sudahpun selesai disenaraipendekkan dan akan diumumkan dalam masa yang sesuai. Sementara kita tidak menafikan sumbangan orang-orang lama dalam perjuangan ini, keADILan sedang mengenalpasti calon-calon muda profesional yang komited dengan perjuangan keADILan untuk ditonjolkan dalam pilihan raya nanti.

Mesej pilihan raya dan bahan komunikasi untuk rakyat sedang dikemaskinikan termasuk risalah-risalah dan CD yang mengandungi penjelasan-penjelasan isu-isu semasa khususnya ekonomi, pendidikan, kesihatan dan matlamat perjuangan keADILan.

Jawatankuasa ini memerlukan keupayaan tenaga yang mantap untuk menjayakan hasrat parti dan harapan rakyat agar keADILan memimpin agenda perubahan dan memenangi Pilihan Raya Umum yang akan datang.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home