Friday, February 09, 2007

Lawatan Kerja ke Pandan

Malam ini, 10 Februari 2007 (Sabtu), saya akan mengadakan pertemuan tertutup dengan ahli-ahli dan pimpinan keADILan Bahagian Pandan. Pertemuan ini bertujuan untuk mendengar pandangan dan maklumbalas dari pimpinan akar umbi mengenai masa depan parti di samping membincangkan persiapan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 12.

Skuad Angkatan Muda keADILan

Esok, Sabtu 10 Februari 2007, saya akan menghadiri pelancaran skuad Angkatan Muda keADILan Bahagian Gombak oleh Pemangku Angkatan Muda, Saudara Shamsul Iskandar Md. Akin. Skuad AMK bertanggungjawab untuk membantu jentera pilihan raya di peringkat bahagian.

Gombak merupakan bahagian pertama yang melancarkan penubuhan skuad ini. Saya mengajak anak-anak muda khususnya di Parlimen Gombak untuk menyertai skuad ini dalam usaha kita untuk memperkasa potensi belia dan generasi muda.

Anwar Is Back !

Ahli-ahli dan pimpinan Parti Keadilan Rakyat muafakat untuk mengangkat Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin utama parti dalam pemilihan parti yang akan diadakan pada penghujung bulan Mei 2007. Sementara seluruh peringkat ahli dan pemimpin keADILan menghargai sumbangan besar dan khidmat YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail dalam mengasaskan parti dari awal penubuhannya dalam tahun 1999, dan berjaya meletakkan parti di satu tahap yang membanggakan; kami sepakati bahawa kepimpinan Anwar dalam Pilihan Raya Umum ke 12 amat penting.

Anwar mempunyai peranan besar dalam menarik sokongan pelbagai pertubuhan dan individu di luar parti untuk bersama-sama dengan keADILan dalam pilihan raya yang akan datang. Anwar perlu mengukuhkan lagi muafakat reformasi di kalangan parti-parti politik khususnya keADILan, PAS, DAP dan juga NGOs. Anwar juga mampu mengalih sokongan ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi untuk mendukung agenda perubahan yang dipimpin oleh beliau.

Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian Gombak yang akan bersidang dalam pertengahan bulan Februari akan mencalonkan Anwar sebagai Presiden. Kami juga akan memastikan YB Datin Seri Dr. Wan Azizah akan terus diberikan peranan utama dalam usaha untuk memperkasa parti. Semoga usaha murni kita diberkati dan mendapat kejayaan.

Mampukah Abdullah Badawi Mendepani Cabaran Ekonomi di Era Globalisasi

Mampukah Abdullah Badawi mendepani cabaran ekonomi di era globalisasi ? Persoalan ini yang menghantui pemikiran sebahagian besar rakyat Malaysia khususnya di kalangan masyarakat perniagaan terjawab di Sesi Dialog yang dianjurkan oleh keADILan Bahagian Gombak pada 4 Februari 2007 yang lalu di Taman Melawati.

Lebih 250 orang yang terdiri dari golongan profesional muda, pelajar universiti dan pimpinan masyarakat hadir mendengar taklimat ekonomi semasa yang disampaikan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Bendahari Agung keADILan.

Rumusan dialog ini amat jelas lagi nyata : ABDULLAH GAGAL !

Menurut Tan Sri Khalid, wawasan 2020 tidak akan menjadi kenyataan memandangkan kadar pertumbuhan ekonomi negara semakin menguncup dan tidak mencapai sasaran 7 % seperti yang diunjurkan untuk setiap tahun demi mencapai matlamat wawasan 2020.

Malaysia semakin kecundang dalam persaingan ekonomi memandangkan pelabur-pelabur asing hilang keyakinan ekoran undang-undang zalim yang masih dipakai oleh kerajaan BN seperti OSA dan ISA. keADILan mendesak supaya rakyat mempunyai 'access to information' khususnya maklumat mengenai perbelanjaan kerajaan dalam pengurusan dan pentadbiran negara. Ini termasuklah perjanjian yang ditandatangani dengan pihak swasta seperti perjanjian konsesi tol. India telah membuka pintunya kepada persaingan ekonomi dunia dengan menghapuskan OSA dan menggantikannya dengan undang-undang baru yang dinamakan "Rights to Information" yang membolehkan rakyat mendapatkan maklumat secara terbuka mengenai pengurusan kewangan kerajaan. Kesediaan pimpinan India untuk melakukan reformasi ini telah melonjakkan pertumbuhan ekonomi India melebihi 9.5 %. Malaysia telah jauh ketinggalan berbanding dengan China, Thailand dan Kemboja.

Khalid juga menarik perhatian peserta bahawa belanja mengurus kerajaan BN untuk tahun 2007 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Abdullah adalah terlalu tinggi iaitu RM 112 bilion. Menurut perkiraan badan antarabangsa, kadar ketirisan mencecah 10 % atau berjumlah lebih RM 10 bilion. Ini adalah jumlah yang terlalu besar untuk ditanggung oleh pembayar cukai di Malaysia.

Untuk memudahkan perhitungan kita, jumlah ketirisan dan kebocoran kerajaan UMNO dan BN sebanyak RM 10 bilion ini boleh diselamatkan untuk membina sebanyak 300,000 unit rumah murah untuk rakyat ! Tetapi kerajaan BN tidak mempunyai dasar kepeduliaan terhadap permasalahan rakyat sebaliknya sanggup berbelanja sebanyak RM 45 juta untuk pertunjukan bunga api baru-baru ini. Dimanakah keutamaan kerajaan BN apabila membeli pesawat peribadi baru untu kegunaan Perdana Menteri yang bernilai lebih RM 200 juta ! Rakyat terus dibebankan dengan harga petrol dan tol yang tinggi. Apabila rakyat membantah, rakyat dipukul, dibelasah dan didakwa.

keADILan akan memastikan pengurusan khazanah negara adalah telus, bertanggungjawab dan memberikan penekanan untuk pembangunan rakyat termasuk penyediaan perumahan rakyat, hospital dan sekolah.

Khalid juga melahirkan kebimbangan apabila pentadbiran Abdullah terlalu memberikan tumpuan kepada hartanah untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara. Dasar ini berisiko tinggi kerana pasaran hartanah tidak stabil dan senantiasa berubah.

DEB yang memberikan pulangan dan keuntungan hanya kepada golongan elit dan bangsawan UMNO juga dikupas dengan panjang lebar. Rakyat Malaysia hari ini memerlukan dasar ekonomi yang mampu memacu pertumbuhan yang mampan dan pengagihan yang adil demi kesejahteraan rakyat.

keADILan Bahagian Gombak akan meneruskan program penerangan seumpama ini untuk mengajak lebih ramai rakyat Malaysia bersama-sama membawa perubahan.

Program Pemerkasaan Parti

Parti Keadilan Rakyat Bahagian Gombak telah mengadakan Taklimat Pemerkasaan Parti secara tertutup kepada Pengerusi Perhubungan Negeri Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 4 Februari 2007 yang lalu. Taklimat disampaikan oleh saya selaku Ketua Bahagian Gombak. Lebih 70 orang pemimpin utama parti yang terdiri dari AJK Bahagian, AJK Wanita Bahagian dan AJK Angkatan Muda Bahagian Gombak hadir dalam perjumpaan selama lebih satu jam di pejabat keADILan Bahagian Gombak.

Taklimat ini berkisar kepada agenda dan gerak kerja parti di Bahagian Gombak untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 12. Ini termasuklah aktiviti culaan melalui Borang Kajian Selidik (BKS) berdasarkan profil pemilih di dalam SISMEP, meningkatkan usaha untuk mengedarkan risalah penjelasan isu dan mesej parti kepada kumpulan sasaran di setiap Saluran dan Daerah Mengundi dan mengenalpasti pengundi-pengundi atas pagar serta mendaftarkan pengundi-pengundi muda.

Gombak merupakan bahagian pertama yang berjaya melengkapkan perlantikan 40 Ketua-Ketua Jawatankuasa Daerah Mengundi (JDM) yang bertanggungjawab untuk mengalih sokongan rakyat kepada keADILan di Daerah Mengundi masing-masing.

Parti perlu menjana perubahan. Untuk maksud ini, parti perlu menggarap semua kekuatan untuk melebarkan tapak sokongan kepada parti.

Tan Sri Khalid mengajak ahli-ahli dan pimpinan parti untuk bekerja kuat dan bersama mengubah minda rakyat supaya rakyat Malaysia memahami tanggungjawab mereka dalam usaha kita untuk menyuburkan sistem demokrasi di Malaysia.

Pengerusi Perhubungan Negeri amat gembira dengan pengurusan dan pentadbiran parti di Bahagian Gombak dan mencadangkan supaya Gombak dapat membantu bahagian-bahagian yang lain untuk menggerakkan jentera parti.

Saya dan teman-teman di Gombak akan terus berusaha untuk memantapkan perjuangan ini dan kami akan membawa obor perjuangan keADILan ke seluruh negara.