Wednesday, November 29, 2006

keADILan semakin relevan

RANDAU ekonomi di Ipoh malam tadi berjaya menarik minat lebih 200 orang masyarakat Tionghua yang mewakili pelbagai pertubuhan dan persatuan di sekitar bandaraya Ipoh. Majlis dialog anjuran Parti Keadilan Rakyat Bahagian Gopeng dipengerusikan oleh Dr. Lee Boon Chye [baju biru], Naib Presiden manakala 3 orang ahli panel terdiri dari Saudara Tian Chua, Ketua Penerangan [kanan] ; Saudara Chan Ming Kai, Naib Ketua Bahagian Gopeng [kiri] dan saya sendiri.

Majlis dimulakan dengan tayangan video klip perbahasan beberapa orang perwakilan UMNO yang bermain dengan api perkauman semasa Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Saya diminta mengulas pendekatan ekstrem dan melampau yang diambil oleh UMNO semenjak kebelakangan ini. Saya menegaskan bahawa keresahan dan kebimbangan ini bukan saja menghantui orang bukan Melayu khususnya orang Tionghua tetapi juga orang Melayu. Golongan muda dan profesional Melayu merasakan tindakan liar beberapa kerat pemimpin Pemuda UMNO adalah untuk mengalih pandangan rakyat kepada isu sebenar hari ini iaitu rasuah dan penyelewengan di kalangan pemimpin elit UMNO. Pemimpin elit UMNO merasa tertekan kerana pengkhianatan mereka terhadap orang Melayu telah dibongkar oleh keADILan. Sokongan orang Melayu kepada UMNO semakin merosot. Sekurang-kurangnya, lojik yang digunapakai oleh UMNO hari ini dengan mencium keris dan melabelkan pengkritik DEB sebagai pengkhianat bangsa, tidak lagi boleh diterima oleh orang-orang Melayu. Saya juga berhujah bahawa ini adalah hasil kepimpinan Abdullah yang cukup lemah; tidak bersedia untuk berbincang secara terbuka dan rasional. Di samping itu, UMNO juga sedang berada di kemuncak perpecahan. Maka Hisham dan Khairy menjadi budak suruhan untuk melakonkan watak pejuang dan pembela orang Melayu bagi menagih simpati dan sokongan orang Melayu.

Saya mengulangi kenyataan bahawa DEB sudak 'dihijack' oleh golongan bangsawan dan elit UMNO. Majoriti orang Melayu masih terpinggir dan akan terus tersisih dalam agenda dan program pembangunan dalam RMK 9. DEB adalah lubok rasuah pemimpin elit UMNO.

Saya juga menjelaskan kesediaan keADILan untuk merangka satu dasar ekonomi yang menjaga kepentingan semua kaum tanpa mengorbankan kepentingan golongan majoriti. Fokus keADILan adalah untuk memacu pertumbuhan ekonomi dengan memperkasa ekonomi kelas menengah rendah. keADILan akan memastikan pengagihan kekayaan negara dibuat secara adil.
Isu bahasa ibunda dan pendidikan juga disentuh dalam perbincangan ini. Saya menegaskan bahawa saya mahu semua kaum di Malaysia ; Melayu, Tionghua, India dan kaum-kaum yang lain dapat menguasai Bahasa Melayu dengan baik selaras dengan kedudukannya sebagai Bahasa Kebangsaan. Tetapi, pada masa yang sama orang-orang Tionghua dan India mesti diberikan dan dijamin hak mereka untuk mengamalkan bahasa ibunda mereka khususnya di sekolah-sekolah jenis kebangsaan.

Pelbagai persoalan lain dikemukakan kepada saya : dasar perkauman UMNO, penghapusan undang-undang zalim seperti Akta Hasutan, statistik ASLI, pembebasan Anwar dan Sukma serta kesan kepada penyertaan Anwar dalam pilihan raya, DEB, amalan rasuah di kalangan pemimpin elit UMNO dan perbahasan UMNO yang tidak merangkumi dasar negara.

Saya juga sempat menjelaskan bahawa Perhimpunan Agung UMNO tidak bicara soal orang Melayu, apatah masalah rakyat. Ini jelas dapat disaksikan daripada kegagalan Presiden UMNO untuk bahas isu pekerja dalam Ucapan Dasar dan juga tidak membahaskan isu FTA secara terperinci supaya kepentingan negara tidak dikorbankan.

Yang menjadi keutamaan pemimpin UMNO ialah soal kontrak, tender, lesen dan wang.

Saya merumuskan dalam randau ini dengan mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama membawa perubahan dalam pilihan raya yang akan datang demi kesejahteraan anak-anak dan generasi yang akan datang. Masyarakat Tionghua dan India mesti memberikan sokongan kepada agenda perubahan yang dibawa oleh keADILan sebagai sebuah parti pelbagai kaum dan menolak parti yang mengamalkan dasar perkauman.

Kenyataan ini bukan sekadar slogan politik tetapi saya mengulangi penegasan bahawa ini adalah 'conviction' keADILan kepada rakyat Malaysia. Tidak ada jalan lain untuk Malaysia berjaya dalam persaingan global melainkan dengan berpaksikan kepada keadilan dan program kepeduliaan terhadap masalah rakyat.

Awal pagi ini, saya menerima sms dari Dr. Lee Boon Chye yang mengatakan bahawa maklum balas yang beliau terima susulan program malam tadi amat positif. Kita mesti terus berusaha dengan gigih. Saya yakin rakyat akan menilai dan menghargai perjuangan ini.

4 Comments:

Blogger ADIhamka said...

syabas sdr! aktiviti dialog dan randau seumpama ini perlu diperhebatkan supaya rakyat bawahan dapat memahami intipati perjuangan keADILan.

harapnya hebahan aktiviti2 seumpama ini dapat diperhebatkan lagi oleh media2 alternatif.

9:51 AM  
Blogger Azmin Ali said...

Adilhamka,

Sokongan dan dokongan saudara memperteguhkan lagi semangat kami untuk meneruskan perjuangan kepeduliaan untuk rakyat.

4:03 AM  
Blogger zahir said...

Saudara Azmin,

Bgaimanakah perkembangan cadangan DSAI membawa masuk pemerhati antarabangsa pada pilihanraya umum akan datang? Saya kira ini adalah suatu perkara yang sangat baik kerana dapat menbendung penipuan yang dilakukan oleh BN/UMNO dan SPR, sekali gus dapat mencerahkan lagi peluang PKR dan parti pembangkang lain memenangi lebih banyak kerusi dan insyaAllah memerintah negara nanti.

9:53 PM  
Blogger Azmin Ali said...

Saudara Zahir, sekiranya pilihan raya di Malaysia dapat dijalankan secara adil, bebas dan bersih; keADILan pada prinsipnya berpendapat tidak perlu pemerhati antarabangsa. Malangnya, pilihan raya di Malaysia amat kotor dan SPR adalah badan yang tidak bebas. keADILan telah memulakan satu proses mendedahkan penipuan dan penyelewengan oleh SPR dan kelemahan-kelemahan sistem pilihan raya di Malaysia melalui SISMEP 12. keADILan telah menerbitkan satu laporan yang cukup komprehensif bertajuk "Sham Democracy : A Report on Malaysian Elections" yang mendedahkan bukti-bukti yang mencukupi berhubung penipuan dalam proses pilihan raya di Malaysia. Justeru itu, kehadiran pemerhati antarabangsa amat mendesak untuk memastikan pilihan raya yang akan datang dapat dijalankan secara adil dan bebas. Usaha ini sedang dipacu oleh DSAI. Saya telah menghantar laporan di atas kepada 125 kedutaan asing yang berpengkalan di Kuala Lumpur. DSAI juga mengedarkan laporan yang sama dalam siri lawatan beliau ke luar negara. Masyarakat antarabangsa mesti faham bahawa kemenangan Umno dan BN bukanlah bersandarkan sokongan rakyat tetapi dicemari dengan rasuah dan penyelewengan dalam pilihan raya.

2:33 AM  

Post a Comment

<< Home