Sunday, November 19, 2006

Kebangkitan di Kampong Tehel

Semalam, 19 November 2006, saya memenuhi jemputan teman-teman di negeri Melaka. Saya tiba di Tangga Batu pada jam 6.00 petang untuk menghadiri Jamuan Eidul Fitr anjuran keADILan Bahagian Tangga Batu yang dipimpin oleh Lt. Kol. (B) Hashim Puteh. Hujan lebat tidak melunturkan semangat aktivis parti dan rakyat untuk bersama-sama meraikan majlis ini yang diadakan di Klebang Besar, Melaka. Turut hadir, Pengerusi Perhubungan, Hajjah Zainon Jaafar. Selesai jamuan dan ucapan, saya menunaikan solat Maghrib berjamaah di rumah Saudara Hashim Puteh.

Sejurus kemudian, saya bergegas ke Jasin untuk menghadiri satu lagi majlis sambutan Eidul Fitr dan ceramah anjuran keADILan Bahagian Jasin yang diketuai oleh Saudara Shamsul Iskandar Md. Akin yang juga adalah Pemangku Angkatan Muda Nasional. Setibanya saya di Kg. Tehel, Jasin, saya disambut oleh Puan Mahani, Setiausaha Bahagian dan teman-teman pimpinan serta penduduk tempatan.

Sebaik sahaja saya mengambil tempat di anjung rumah Iskandar, seorang penduduk tempatan yang berusia dalam lingkungan 70an membisikkan kepada saya; "Saudara Azmin, kamu masuk kubu UMNO." Saya tersentak tetapi berlapang dada untuk mendengar cerita orang kampong seterusnya.

Rupa-rupanya Kg. Tehel adalah sebuah kampong yang merupakan kubu kuat UMNO secara tradisinya. Belum pernah parti-parti pembangkang sebelum ini berjaya untuk membolosi kampong tersebut. Kehadiran saya adalah program sulung memecah tradisi ini dan diterima baik oleh masyarakat kampong. Barulah saya faham dan lega.

Saya merasa cukup gembira melihat kehadiran yang begitu menggalakkan pada malam tersebut. Saya dapat melihat kejernihan dan kejujuran di wajah setiap tetamu yang mahukan perubahan. Saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana penduduk Kg. Tehel bangkit dengan semangat baru untuk bersama-sama keADILan. Ramai anak-anak muda yang hadir untuk mendengar kupasan isu-isu semasa dari pimpinan termasuk Saudara Syed Shahir, Presiden MTUC yang juga Ketua Bahagian keADILan Kelana Jaya, Saudara Shamsul Iskandar dan Saudara Kamaruddin Sidek, Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka. Mereka yakin dasar-dasar yang dibawa oleh keADILan adalah dasar yang bersifat kepeduliaan terhadap rakyat.

Saya sempat mengupas gagasan ekonomi baru yang dicetuskan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan dibantu oleh Tan Sri Khalid Ibrahim, seorang usahawan Melayu tulin yang kini menjadi Bendahari Agung keADILan. Agenda ekonomi ini akan menjamin kepentingan semua kaum secara adil tanpa mengorbankan kepentingan orang Melayu. keADILan akan fokus terhadap usaha untuk memacu pertumbuhan ekonomi. keADILan juga akan memperkasa kuasa ekonomi golongan kelas menengah rendah. Dan pastinya kita akan menjaga kepentingan golongan yang terbanyak termasuk kepentingan golongan pekerja.

Saya menyaksikan kekuatan penduduk-penduduk Kg. Tehel yang berani membawa perubahan demi kesejahteraan rakyat di Melaka.

Reformasi berputik dan bersinar di Kg. Tehel.

2 Comments:

Blogger zahir said...

Saudara Azmin,

Saya harap bukan sahaja di sana, tapi ke seluruh pelusok negara. Menjelang pilihanraya umum akan datang, program seperti ini mesti diadakan lebih kerap. Gagasan Ekonomi Baru mesti dihebahkan kepada rakyat agar is tidak diputar-belitkan oleh UMNO seperti yang dilakukan baru-baru ini. Saya dika ini adalah amat penting kerana kita mempunyai sumber media masa yang amat terhad. Rakyat seperti lelaki lingkungan 70an di Kampung Tehel itu mesti di beri penerangan yang amat jelas kerana meraka telah sebati dengan DEB yang kononnya menolong orang Melayu. Saya akan sentiasa mendoakan memenangan PKR nanti.

1:00 AM  
Blogger Azmin Ali said...

Saudara Zahir,

Saya yakin rakyat akan bersedia melakukan perubahan apabila mendapat maklumat yang tepat. Program penerangan akan diperhebatkan dalam pelbagai kaedah dan pendekatan; bukan tertumpu kepada ceramah umum sahaja. Edaran Suara Keadilan dan CD mesti dipertingkatkan. Program kemasyarakatan disusun segera. Randau dengan kelompok sasaran menjadi agenda utama DSAI sekarang seperti dengan masyarakat perniagaan termasuk Dewan Perniagaan Cina, golongan pendidik, golongan profesional, persatuan pemandu teksi, pelajar dan graduan muda, dan banyak lagi kelompok penting yang mewakili nelayan, petani dan golongan pekerja.

Berhubung kes saya di mahkamah, terima kasih di atas sokongan dan doa saudara. Sehingga petang ini, peguam saya masih menanti tarikh baru dari mahkamah.

Pentadbiran Abdullah tiada pengisian yang baru. Abdullah mewarisi satu sistem lama yang rosak dan zalim.

Tanggungjawab kita bersama untuk bangun dengan berani bagi menyemarakkan semangat bangsa Malaysia yang cintakan keadilan dan kebenaran.

1:21 AM  

Post a Comment

<< Home