Saturday, March 24, 2007

Makmurkan demokrasi

Saya bersyukur dan berterima kasih di atas pernyataan kepercayaan dan keyakinan ahli-ahli parti yang terus mencalonkan saya sebagai Timbalan Presiden dalam Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian masing-masing menjelang Kongres Tahunan parti pada bulan Mei yang akan datang. Sehingga hari ini, jumlah pencalonan yang saya terima dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak amat memberangsangkan; justeru meyakinkan saya bahawa prinsip dan amalan demokrasi amat subur dalam keADILan. Saya sendiri berpegang teguh kepada prinsip ini dan menyeru ahli-ahli parti untuk memakmurkan amalan demokrasi dalam parti dan menjaga etika dalam proses ini.

Saya percaya pernyataan sokongan yang saya terima dari ahli-ahli parti adalah berdasarkan keyakinan dan penghargaan mereka di atas sumbangan saya dan rekod kerja saya dalam usaha memperkasa parti dari awal penubuhan keADILan pada tahun 1999.

Pemilihan dalam parti adalah amalan yang sihat selagi kita menjaga etika dalam berkempen. Seseorang demokrat tidak harus gusar atau takut berdepan dengan proses demokrasi. Yang lebih penting ialah parti kita, keADILan diasaskan kepada prinsip demokrasi. Justeru itu, prinsip-prinsip ini mestilah menjadi amalan kita dalam parti. Proses dan amalan demokrasi yang sihat tidak akan memecahkan perpaduan dalaman parti. Hujah yang mengatakan pemilihan pucuk pimpinan akan memecahkan perpaduan dan menghancurkan parti adalah alasan yang meleset dan jumut. Ianya menjadi amalan orang yang dayus dan bertopengkan slogan demokrasi. Inilah amalan UMNO. Inilah juga amalan orang yang masih berkiblatkan UMNO.

Saya cukup yakin dengan kematangan keADILan untuk mengurus proses demokrasi dalam parti. Kejayaan kita mengurus proses demokrasi dalaman parti akan pasti memberikan imej yang baik kepada rakyat dan meyakinkan kita untuk menyertai pilihan raya umum dengan sokongan yang lebih besar di kalangan rakyat.

Saya meminta tenaga dan perhatian ahli-ahli parti dan teman-teman pimpinan ditumpukan sepenuhnya untuk memakmurkan demokrasi dalam keADILan.

2 Comments:

Blogger Khairul Azwan (kaz) said...

cerminlah diri anda sendiri sebelum mengajak umat melayu berjuang kononnya untuk keadilan..insaflah saudara..sungguh berat seksaan Allah..kembalilah ke arah Islam Hakiki

8:18 PM  
Blogger Pak Din said...

Betullah Azmin Ali,demokrasi perlu dimakmurkan tetapi tidak semestinya kita mengamalkan demokrasi 100% kerana negara yg suatu ketika dahulu maju dan agung telah kubur kerana telah mengamalkan demokrasi seperti negara yunani,dan lain2 lg.dari semasa ke semasa demokrasi perlu diubahsuai mengikut keadaan negara masing.Saya merupakan penyokong setia Azmin tetapi bukan fanatik Anwar Ibrahim.Oleh itu,saya nasihatkan jgn terlalu menyokong hindraf yg mempropagandakan sesetengah isu spt menuduh M'sia negara mengamalkan etnik cleansing yg tidak pernah berlaku di negara kita.Mereka ini disifatkan sbg Beri betis nak paha.Klu persatuan haram mcm ni yg wujud di masa hadapan apabila PKR mengambil alih kerajaan saya nasihatkan jgn terlalu mengikut tuntutan mereka yg melampau.

5:37 AM  

Post a Comment

<< Home