Friday, June 30, 2006

Muafakat baru untuk rakyat Malaysia

[ Komentar daripada tulisan berjudul “Menyanyi Jangan Sumbang, Menari Jangan Pincang” oleh DPPK Sekijang ]
***
Salam hormat dan salam perjuangan kepada DPPK Sekijang dan semua teman-teman seperjuangan,

Saya tidak bersetuju sekiranya masih ada di kalangan pimpinan dan pendukung parti yang keliru dalam kemelut Mahathir-Abdullah. Prinsip kita mesti jelas dan tuntas. Mahathir berhak untuk memberikan pandangan dan kritikan dalam apa-apa isu sekalipun. Namun, kita sedia maklum bahawa pertembungan Mahathir-Abdullah tidak berpaksi kepada isu dan agenda reformasi, walhal tidak lebih hanya berkisar kepada isu-isu yang menyentuh kepentingan terpilih di antara mereka.

Saya dan keADILan menyanggah kenyataan dan kritikan Mahathir bukan kerana beliau mengkritik Abdullah, tetapi kritikan Mahathir bersifat double-standard. Sebagai contoh; amalan rasuah dan kronisma bukan sahaja menjadi dasar pentadbiran Abdullah tetapi juga menjadi amalan Dr. Mahathir. Kengkangan terhadap media yang menutup ruang demokrasi bukanlah satu perkara baru, tetapi ia juga adalah senjata Dr. Mahathir selama 23 tahun.

keADILan mendukung semua program ekonomi dan pembangunan yang memberi kesan langsung yang positif untuk rakyat. keADILan menyokong langkah-langkah Abdullah yang membatalkan projek-projek mega.

Berhubung muafakat parti-parti pembangkang, saya berpendirian, ia perlu dimantapkan atas landasan prinsip yang cukup jelas, iaitu menjana perubahan dan tranformasi untuk menjamin kesejahteraan dan keadilan untuk semua. Prinsip keadilan bukan milik orang Islam sahaja, tetapi untuk semua kaum dan suku kaum di Malaysia.
Saya juga ingin mengingatkan bahawa tidak mungkin kita mencapai consensus dalam semua perkara, tetapi yang lebih utama ialah keupayaan PAS, DAP, keADILan dan semua parti-parti yang progresif untuk mencapai muafakat bersama dalam isu-isu prinsip seperti demokrasi, menghormati hak dan kebebasan mengamalkan budaya dan agama masing-masing, mengamalkan sikap toleransi dan menghormati di antara satu kaum dengan kaum yang lain, menentang amalan rasuah dan kronisma, menyuburkan kebebasan media dan menentang akta-akta yang zalim seperti ISA, Akta Hasutan dan Akta Cetak dan Penerbitan.

Muafakat baru ini perlu diterima dan dihayati oleh semua pihak yang cintakan keadilan dan kebenaran.
Kuala Lumpur
30 Jun 2006 / 3 Jamadil Akhir 1427

Bebas

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi ini menjatuhkan hukuman TIDAK BERSALAH dan membebaskan saya dari pertuduhan merusuh dalam kes Arsenik pada 11 September 1999.

Majistret Asniza Mohd Ali yang mewakili Majistret Khairi Haron ketika membaca penghakiman tersebut menegaskan bahawa setelah semua keterangan saksi-saksi Pendakwaraya diteliti, mahkamah mendapati pihak Pendakwaraya gagal membuktikan kes prima facie terhadap saya. Keputusan ini dibacakan pada jam 10:30 pagi.

Saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. di atas keputusan ini. Saya juga menghargai sokongan, dokongan dan doa teman-teman di sepanjang tempoh perbicaraan ini yang mengambil masa selama hampir 7 tahun. Kalungan terima kasih kepada peguam-peguam saya, khususnya Encik Prabhakaran, Saudara Amer dan Cik Latheefa Koya yang bekerja kuat membela saya tanpa mengenakan sebarang yuran guaman. Saya bertekad untuk meneruskan khidmat kepada rakyat dan menjana transformasi demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Thursday, June 29, 2006

Hukuman kes solat hajat

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur akan menjatuhkan hukuman ke atas saya dan teman-teman pada jam 9.30 pagi esok ( Jumaat, 30 Jun 2006 ) berhubung kes solat hajat di Masjid Negara pada 11 September 1999 atas kes keracunan arsenik Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Mewakili semua teman-teman, saya pohon semua mendoakan kemenangan kami, amin.

Wednesday, June 28, 2006

Samba Brazil

Tidak ada pasukan yang lebih menghiburkan saya, kecuali Brazil. Malam tadi, Brazil menang lagi, tiga-kosong, dan Ghana, sebagai pasukan yang baru pertama kali sampai ke Piala Dunia, bermain dengan cara tidak teratur, gelabah, dan, kawalan bola yang tidak kemas. Sekalipun Ghana memperolehi beberapa peluang cukup baik, ditambah dengan cara Brazil yang tidak ‘menutup’ serangan lawan, namun, pengalaman membezakan dua pasukan ini.

Sebelum ini, Jepun, sebagai pasukan “harapan Asia” juga ditewaskan dengan jumlah gol cukup besar: 4-1. Begitu juga Australia yang nampak dalam Piala Dunia kali ini cukup meyakinkan dari sudut mutu permainannya. Di atas kertas, seolah-olah tidak ada pasukan lain yang dapat menandingi Brazil daripada terus mara, walaupun pertemuan selepas ini diperkira lebih getir apabila bertemu dengan Perancis ; perlawanan yang tentunya mengimbau ingatan kita kepada perlawanan akhir Piala Dunia lapan tahun lalu, iaitu pada 1998. Waktu itu Perancis menang 3-0 dengan corak permainan berkubu dan menyerang hanya apabila perlu.

Namun begitu, kita tidak perlu fanatik dengan mana-mana pasukan termasuklah Brazil atau sesiapa sahaja pemain termasuklah Ronaldo yang berat badannya bertambah disamping kecederaannya yang belum pulih seratus peratus. Kadang-kala saya juga sering berharap agar setiap kali perlawanan, pasukan lawan akan menjaringkan gol agar perlawanan dan ‘persembahan’ Brazil menjadi lebih menarik.

Tentu sahaja bola itu bulat, dan dunia politik sama sekali berlainan dengan permainan di padang. Pertemuan dengan Dr Mahathir tempohari tidak boleh sama sekali dianggap sebagai percubaan ‘mengimbangi permainan’ dan tidak juga sebagai strategi ‘menyerang’. Tindakan tersebut jelas boleh memakan diri, selain boleh membuat para penyokong di tepi padang meninggalkan stadium.

Tuesday, June 27, 2006

Jangan ikut Mahathir ke lubang cacing

Salam perjuangan,

Saya dapat menyelami kegelisahan aktivis Parti dan rakyat terbanyak yang terkeliru apabila menonton gelagat beberapa orang pemimpin PAS dan DAP yang menghadiri Dialog Perdana dengan Dr. Mahathir Mohammad di Taman Melawati pada 24 Jun lalu.

Sementara kita menggalakkan perbahasan dan menghormati hak Dr. Mahathir untuk memberikan pandangan, kita usah sekali-kali terperangkap akibat kedangkalan membaca percaturan politik.

Rakyat harus faham pertembungan kita dengan Mahathir bukan soal peribadi, tetapi berasaskan kepada prinsip yang jelas dan nyata. Kita menentang perasuah ; yang kita tentang adalah kerajaaan yang zalim ini ; kita menentang sistem yang menekan dan menindas rakyat ; kita menentang kemungkaran UMNO dan Barisan Nasional seluruhnya. Seraya itu, Mahathir dan Abdullah mewakili sistem yang sama.

Saya bertanggungjawab untuk membongkar bahawa Dr. Mahathir membelanjakan jutaan ringgit untuk menganjurkan forum dan dialog di peringkat antarabangsa semata-mata untuk menyerang pentadbiran Amerika Syarikat kerana beliau faham bahawa ini adalah tindakan dan pendekatan yang cukup popular di kalangan negara Islam dan juga Eropah. Di dalam negara sendiri, sekali lagi Dr. Mahathir mengambil tindakan yang popular dengan menyerang Singapura supaya rakyat Malaysia lupa kezaliman dan kebobrokan beliau selama pemerintahannya. Beginilah ‘pintarnya’ politik Dr. Mahathir. Kita bagaimana ?

Pimpinan yang menyanjungi prinsip perjuangan harus melihat polimik UMNO ini bukan semata-mata dari konteks keuntungan politik, tetapi juga berpegang teguh kepada janji kita kepada rakyat untuk menjana kekuatan baru dan membawa perubahan.

Kehadiran segelintir pemimpin dalam dialog bersama Mahathir seolah-olah memberi ‘laluan baru’ kepada pelaku kezaliman. Apakah orang Melayu mudah lupa seperti yang diungkap oleh Mahathir sendiri ?

Siapakah yang bertanggungjawab di atas peristiwa berdarah di Memali ? Tangan siapakah yang menandatangai penahanan Nik Adli Nik Abdul Aziz yang ditahan di bawah akta ISA yang zalim itu? Siapakah yang bertanggungjawab menutup sekolah-sekolah agama rakyat ? Siapakah yang menzalimi rakyat Terengganu dengan memberhentikan royalti minyak ? Dan, tentunya, siapakah yang merencana konspirasi politik yang jahat dan jijik terhadap Anwar Ibrahim?

Benarlah kata-kata Dr. Mahathir, orang Melayu mudah lupa !

Telahan segelintir pemimpin ini bahawa kehadiran mereka adalah untuk membuat provokasi terhadap Mahathir supaya lebih lantang mengecam Abdullah adalah perhitungan politik yang naif dan cetek.

Sekalipun Mahathir cuba menunjukkan kononnya beliau seorang yang tegas dengan beberapa isu sehingga sanggup “ke lubang cacing,” itu tidak bermakna kita harus sama ke lubang cacing. Saya tegas bahawa kita tidak perlu membuang masa dengan melayan karenah beliau sedangkan tidak ada perkara baru yang dibongkar melainkan hanya beberapa isu dan kepentingan terpilih yang melibatkan beberapa kroni dan kerabat beliau. Mahathir manusia bankrap moral dan prinsip !

27 Jun 2006 / 30 Jamadil Awal 1427

Sunday, June 18, 2006

Mukadimah

Salam perjuangan,

Saya berbangga untuk bersama berkongsi idea dan pengalaman dalam agenda besar perjuangan untuk membawa perubahan dan islah di negara yang kita cintai ini ~ Malaysia. Blog ini bakal memuatkan jadual, aktiviti dan kenyataan penting saya yang melibatkan agenda perubahan umumnya, mahupun menyentuh Parti Keadilan Rakyat ( keADILan ) khususnya.

Tentulah kita bertuah kerana pada zaman ini, kemudahan blog memberi satu lagi kesempatan untuk kita sama-sama mengaplikasikan teknologi ini sebagai salah satu medium penting untuk berkomunikasi dan penyebaran maklumat. Sungguhpun begitu, saya tetap berpandangan bahawa kita tidak boleh sedikitpun cuai dan leka untuk terus memperjuangkan demokrasi dan keadilan termasuklah dalam hal kebebasan media. Dengan adanya teknologi blog ini bukan bermakna pemerintah sudah terlepas daripada tanggungjawabnya untuk memberikan kebebasan dan keterbukaan kepada media sebagai hak yang paling asas di dalam sistem demokrasi dan masyarakat madani.

Sekarang saya berada di ibu negara bersama pimpinan tertinggi Keadilan, termasuk bersama Dato' Seri Anwar Ibrahim yang mulai menetap di dalam negara sejak awal Jun ini untuk sama-sama membawa agenda besar perubahan sepertimana yang beliau janjikan.

Setiap pandangan dan idea yang disalurkan melalui halaman blog ini tentunya akan dipertimbang dengan cukup terperinci demi perjuangan menegakkan keadilan dan kebenaran.

Sekain dahulu, salam penuh ikhlas dari saya kepada semua pembaca.