Tuesday, June 27, 2006

Jangan ikut Mahathir ke lubang cacing

Salam perjuangan,

Saya dapat menyelami kegelisahan aktivis Parti dan rakyat terbanyak yang terkeliru apabila menonton gelagat beberapa orang pemimpin PAS dan DAP yang menghadiri Dialog Perdana dengan Dr. Mahathir Mohammad di Taman Melawati pada 24 Jun lalu.

Sementara kita menggalakkan perbahasan dan menghormati hak Dr. Mahathir untuk memberikan pandangan, kita usah sekali-kali terperangkap akibat kedangkalan membaca percaturan politik.

Rakyat harus faham pertembungan kita dengan Mahathir bukan soal peribadi, tetapi berasaskan kepada prinsip yang jelas dan nyata. Kita menentang perasuah ; yang kita tentang adalah kerajaaan yang zalim ini ; kita menentang sistem yang menekan dan menindas rakyat ; kita menentang kemungkaran UMNO dan Barisan Nasional seluruhnya. Seraya itu, Mahathir dan Abdullah mewakili sistem yang sama.

Saya bertanggungjawab untuk membongkar bahawa Dr. Mahathir membelanjakan jutaan ringgit untuk menganjurkan forum dan dialog di peringkat antarabangsa semata-mata untuk menyerang pentadbiran Amerika Syarikat kerana beliau faham bahawa ini adalah tindakan dan pendekatan yang cukup popular di kalangan negara Islam dan juga Eropah. Di dalam negara sendiri, sekali lagi Dr. Mahathir mengambil tindakan yang popular dengan menyerang Singapura supaya rakyat Malaysia lupa kezaliman dan kebobrokan beliau selama pemerintahannya. Beginilah ‘pintarnya’ politik Dr. Mahathir. Kita bagaimana ?

Pimpinan yang menyanjungi prinsip perjuangan harus melihat polimik UMNO ini bukan semata-mata dari konteks keuntungan politik, tetapi juga berpegang teguh kepada janji kita kepada rakyat untuk menjana kekuatan baru dan membawa perubahan.

Kehadiran segelintir pemimpin dalam dialog bersama Mahathir seolah-olah memberi ‘laluan baru’ kepada pelaku kezaliman. Apakah orang Melayu mudah lupa seperti yang diungkap oleh Mahathir sendiri ?

Siapakah yang bertanggungjawab di atas peristiwa berdarah di Memali ? Tangan siapakah yang menandatangai penahanan Nik Adli Nik Abdul Aziz yang ditahan di bawah akta ISA yang zalim itu? Siapakah yang bertanggungjawab menutup sekolah-sekolah agama rakyat ? Siapakah yang menzalimi rakyat Terengganu dengan memberhentikan royalti minyak ? Dan, tentunya, siapakah yang merencana konspirasi politik yang jahat dan jijik terhadap Anwar Ibrahim?

Benarlah kata-kata Dr. Mahathir, orang Melayu mudah lupa !

Telahan segelintir pemimpin ini bahawa kehadiran mereka adalah untuk membuat provokasi terhadap Mahathir supaya lebih lantang mengecam Abdullah adalah perhitungan politik yang naif dan cetek.

Sekalipun Mahathir cuba menunjukkan kononnya beliau seorang yang tegas dengan beberapa isu sehingga sanggup “ke lubang cacing,” itu tidak bermakna kita harus sama ke lubang cacing. Saya tegas bahawa kita tidak perlu membuang masa dengan melayan karenah beliau sedangkan tidak ada perkara baru yang dibongkar melainkan hanya beberapa isu dan kepentingan terpilih yang melibatkan beberapa kroni dan kerabat beliau. Mahathir manusia bankrap moral dan prinsip !

27 Jun 2006 / 30 Jamadil Awal 1427

9 Comments:

Blogger ADIhamka said...

Harapan besar rakyat,agar pemimpin pembangkang tidak menangguk di air keruh.Bendahari keADILan Abd Rahman Othman pun dilihat datang ke majlis tersebut.keADILan perlu jelaskan pendirian.

7:19 PM  
Blogger Khalid Jaafar said...

Saya dengar Rahman Othman telah meletak jawatan sebagai bendahari beberapa hari sebelum itu. Kalau ini betul maka dia hanya mewakili dirinya sendiri.

8:22 PM  
Blogger Andin Salleh said...

Saya pun hairan bagaimana orang-orang PAS nak "tumpang semangkuk" dalam konflik antara Mahathir dengan Abdullah Badawi sekarang . Nampak sangat orang PAS naif dan tak ada prinsip.

Dosa dan kezaliman Mahathir tinggi menggunung. Tak kan mereka sudah lupa.

8:58 PM  
Blogger Memorable Love said...

Musuh kita bukan Mahathir mahupun Pak Lah. Musuh kita ialah kezaliman , kesalahan , diskriminasi dan ketidakadilan yang berlaku.

Rakan kita ialah berkhidmat , berjuang dan membantu rakyat jelata.

Jika Keadilan ingin menang besar dalam pilihan raya maka dinasihatkan memperbanyak rakan
( membantu , berkhidmat dan berjuang untuk rakyat ) kita sebelum menentang musuh
( ketidakadilan , kezaliman , diskriminasi , kesalahan )

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapakan ribuan terima kasih kepada Tun Mahathir kerana banyak membantu pembangkang melemahkan UMNO dan secara tidak langsung Barisan Nasional. Bayangkanglah segala berita Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang mahupun mana-mana ahli pembangkang semuanya tidak dapat menembusi media tempatan yang kotor itu. Tun dengan segala hormatnya selalu muncul dalam laman utama semua surat khabar tempatan sedangkan kita tidak berjaya menembusi media tersebut. Bagus!

Jika orang-orang kita hendak selantang Tun pada masa kini maka senjata ISA akan mengherat kita ke sana. Bagus! Sekiranya kita hendak mengadakan satu ceramah seperti mana yang diadakan oleh malaysia-today untuk Tun maka susah hendak mendapatkan permit.

Tun. Hiduplah lama-lama sampai 2008. Harap-harap setiap hari kamu dapat menembusi media kita kerana orang dari DAP , KEADILAN dan PAS tidaklah mampu menembusinya kerana sudah dikawal. Anjurkan lebih banyak ceramah yang anda hendak anjurkan. Teruskan ya. Selamatkan orang-orang kita daripada masuk ISA.

Nazri you shut up. You are worst than Tun. When Tun in power you are just like his pet. Just that your owner cannot afford to feed you appolo now got to another owner to eat pedrigree. Get out of this country!

Salam Reformasi.
Salam Perjuangan.
Salam Hormat.

"Kesalahan dimusnahkan"
"Kezaliman dihapuskan"
"Kehinaan dihancurkan"
"Keadilan ditegakkan"
"Kebenaran diperjuangkan"
"Kepimpinan diteruskan"
"Kebaikan diutamakan"

shenyeeaun.blogsome.com
(lawan jadikan kawan)

10:13 PM  
Blogger Buds of April said...

sheeyeaun,
I like you lah.... I think I will vote for you the next election!!!!

2:55 AM  
Blogger Memorable Love said...

I wont be able to contest in the next election. Who am I to contest? I am still an independent individual at the moment. Hehe. Thank You anyway.

4:01 AM  
Blogger randomsz said...

semudah itu ker pertimbangan politik kita.. serapuh itu ker pendirian kita.. sehingga dengan mudah membuat jsutifikasi lucah dek kerana adanya pimpinan PAS duduk dan mendengar kritikan Dr. Mahathir terhadap parti yang ditubuhkannya sendiri.. jangan lah kerana hal sekecil itu kita turut sama berlagu seperti UMNO... membelakangkan persefahaman yang telah dibentuk dengan membelasah tanpa usul dan periksa... bukankah pendirian PAS telah jelas didalam hal ini... telah dikeluarkan pun kenyataan rasmi daripada PAS berkaitan hal ini.. tidak usahlah kita menyumbang menjadi alat propaganda UMNO... Janganlah sehingga mempersoalkan samada PAS telah melupakan segala kejahatan dan kezaliman Mahathir kepada rakyat Malaysia umumnya dan PAS khususnya... Lihatlah dari sudut yang positif, setidak-tidaknya PAS telah berjaya membuktikan betapa terbukanya mereka... janganlah lupa kerana keterbukaan inilah PAS sedia untuk bersama dengan rakan-rakan didalam BA.. Keadilan dan Anwar khususnya...yang jika hendak dibuat kira-kira pastinya ada juga dosa-dosa yang dilakukan mereka terhadap rakyat dan PAS sepanjang mereka berada didalam kerajaan.. aduhai cukuplah takkan habisnya kita berpolitik seperti ini.. aduhai kalau Rasulullah pun boleh duduk dan berbincang dengan Abu Suffian... takkanlah kerana beberapa kerat pimpinan PAS duduk dan mendegar celoteh Mhathir tu sampai hendak dituduh PAS itu sendiri tak berpendirian... kalau Ezam sendiri boleh bertemu dengan Khairy dan Anwar boleh bertemu dengan Pak Lah.. takkanlah kerana segelintir aksi tersebut terus saja PAS hendak dituduh sebagai petualang.. janganlah begitu.. kitakan kawan.. gaduh kawan bukan begini caranya..

10:20 AM  
Blogger Azmin Ali said...

Hello Randomsz,

Saya menghormati pandangan saudara dan menerima kritikan dengan terbuka. Agenda perjuangan keADILan yang disepakati bersama PAS dan DAP adalah agenda pembaharuan untuk rakyat. Pembaharuan ini akan berjaya sekiranya rakyat yakin dengan muafakat yang padu dan progresif.

Malangnya kehadiran pimpinan PAS dan DAP dalam Dialog Perdana Mahathir boleh mengganggu keberkesanan agenda di atas. Rakyat mungkin melihat tidak wujud satu muafakat yang cukup mantap. keADILan dilihat terlalu keras dalam isu ini manakala PAS dilihat terlalu berlembut. Inilah persepsi rakyat yang boleh mencacatkan muafakat parti-parti pembangkang.

Saya dan Anwar tidak pernah menyesal menyertai UMNO kerana penyertaan kami adalah dengan dhamir dan prinsip yang jelas iaitu untuk membawa perubahan dan islah dalam UMNO. Saya berani menyatakan bahawa usaha Anwar itu jelas membawa kemajuan dalam pembentukan sikap baru sehingga beliau terpaksa membayar harga yang tiada tara dengan konspirasi politik yang kejam tajaan Dr. Mahathir. Anwar juga bersedia dipenjarakan selama tujuh tahun demi kepentingan rakyat dan mempertahankan prinsip. Tidak ramai di kalangan kita yang bersedia mengambil risiko ini.

Saya bersetuju supaya pendekatan berdialog atau engagement ini didokong oleh pimpinan keADILan dan PAS. Saya sendiri kerap bertemu dengan pimpinan akar umbi UMNO untuk meyakinkan mereka supaya bersedia untuk berubah. Saya tidak menentang sekiranya pertemuan dengan Dr. Mahathir itu untuk melihat masa depan orang Melayu dan bangsa Malaysia yang lebih terjamin.

Namun, umum tahu forum yang dianjurkan oleh Dr. Mahathir pada 24 Jun adalah semata-mata untuk menyerang kerajaan dan peribadi Abdullah Badawi. Isu yang dibangkitkan oleh Dr. Mahathir bukan agenda perubahan tetapi kemarahan beliau kerana pembatalan projek-projek mega oleh Abdullah Badawi. Apa untungnya kita dengan menghadirkan diri dalam majlis seumpama ini? Sama-samalah kita muhasabah dengan prinsip bukan emosi…

12:45 AM  
Blogger Memorable Love said...

Nampaknya ada sedikit pembetulan di sini yang perlu dibetulkan. Pertama , forum tersebut dianjurkan oleh malaysia-today iaitu satu badan bebas dan bukannya dianjurkan oleh Tun.

Kedua , bukan sahaja orang dari DAP dan PAS yang menghadirinya malahan Abdul Rahman Othman dan Saifudin Nascution Ismail dari Parti Keadilanrakyat turut berada di sana. Bagi saya , mereka tidak bersalah. Mereka hanya bersikap terbuka. Tidak semestinya mereka menyertai forum Tun maka secara langsung mereka menyokong Tun.

Dalam hidup jika kita orang A maka tidak semestinya kita mesti membaca , mendengar dan mempelajari segala perkara mengenai A sahaja malahan kita patut bersikap terbuka untuk menerima pengetahuan mengenai Orang B , C dan setusnya. Saya di sini seorang insan yang beragama Buddha tetapi saya sering mendapatkan buku dan berbincang dengan rakan-rakan mengenai agama Kristian , Islam , dan Hindu.

Kita mungkin adalah orang dari DAP , Keadilanrakyat mahupun Pas tetapi tidak semestinya kita tidak boleh menghadiri satu forum yang diadakan oleh bekas musuh kita. Begitu juga dengan YB MP Sharir yang mana beliau merupakan seorang wakil kerajaan tetapi tidak semestinya beliau tidak boleh menyokong usul yang cuba dibawa oleh wakil pembangkang sekiranya usul yang dibawa itu berpaksi pada kebenaran dan keadilan.

Datuk Seri Anwar bukannya sendiri sanggup dipenjarakan selama 7 tahun tetapi tiada pilihan. Tekanan kuasa dan politik serta kekalahan dalam perlawanan catur politik dalam landasan yang kurang adil telah mengheratnya ke penjara.

Jika Datuk Seri Anwar betul-betul begitu ikhlas dan suci dalam perjuangannya maka diharapkan rakyat kita dapat melihat usahanya untuk berjuang. Usahanya untuk menang dalam pilihan raya yang akan datang tidak kira beliau dapat bertanding ataupun tidak. Usaha berkhidmat dan berkerja kuat dan keras sehingga media yang cuba mengaburi mata rakyat itu diterangkan dengan tindakannya yang dapat membuka mata rakyat sendiri tanpa bantuan media. Beliau sendiri mesti kembali menjadi aktif , mempunyai semangat yang berkobar-kobar dan serius untuk merealisasikan segala yang diimpikan. Biar situasi bagaimanapun yang tidak menyelebahinya tetapi dirinya tidak patut berputus asa dan terus maju ke hadapan.

Diharapkan orang-orang kanan dan penyokongnya juga mempunyai mentaliti yang sepatutnya supaya bukan Datuk Seri sendiri yang turun ke padang dan berkhidmat dan melakukan segalanya. Kalian semua mesti turun. Tunjunkkan keikhlasan tanpa mengira kepentingan dari segi wang dan membeza-bezakan dari segi warna kulit , bangsa dan agama.

Rakyat harus diutamakan. Banyakkan bergotong-royong , menderma , membantu , melawat ke rumah-rumah orang tua , kanak-kanak ,dan melakukan segala-gala yang boleh untuk menunjunkkan dan membuktikan keikhlasan kita daripada hari-hari berdemonstrasi seperti orang gila dan akhirnya pula membayar wang kepada kerajaan kembali apabila yang ditangkap itu perlu membayar sejumlah wang ikut jamin.

Daripada seruan orang-orang PAS untuk kita bertindak seperti Harmas di Palestin iaitu berdemonstrasi , membaling batu dan sebagainya saya nasihatkan baik lupakan sahajalah nasihat itu. Gunakanlah tenaga yang anda semua ada untuk berdemonstrasi untuk membuat kebajikan dan berkhidmat. Yang pandai berceramah dan menjerit-jerit itu mungkin boleh memberi khidmat kaunseling ataupun pendidikan percuma kepada pelajar-pelajar yang memerlukannya. Yang pandai menulis kata-kata dalam papan tanda semasa berdemonstrasi itu mungkin boleh menggunakan kemahiran menulis kalian untuk menghasilkan rencana yang baik serta berinformasi kepada masyarakat. Daripada kita menulis ' hentikan minyak" ataupun apa-apa perkataan lebih baik kita menghasilkan beberapa rencana mengapa kenaikan minyak itu tidak baik dan kesannya kepada masyarakat dari segi ekonomi , politik dan sosial dan jika kalian betul-betul ingin menyakinkan rakyat maka tulislah sebuah buku mengenainya. Tidak usah tulis yang bukan-bukan di papan tanda sedangkan papan tanda yang ada itu boleh digunakan untuk kitar semula. Daripada kalian berkumpul beramai-ramai berdemonstrasi lebih baik kalian berkumpul beramai-ramai untuk bergotong-royong. Daripada membayar wang ikut jamin disebabkan berdemonstrasi lebih baik wang itu kita berikan kepada golongan yang memerlukannya. Daripada masa yang kita ada untuk berdemonstrasi lebih baik kita guna masa itu untuk melawat rumah-rumah kebajikan.

Saya bersetuju bahawa isu-isu yang dikemukakan oleh Tun mungkin kurang relevan dan mungkin bukannya satu isu yang baik. Pada masa yang sama , saya sebenarnya bukan menyokong isu yang cuba dibawa oleh Tun.

Apa yang saya perjuangkan dan sokong ialah Kebebasan Bersuara , Media dan Berhimpun yang hampir pupus di negara yang tercinta ini. Saya sering tertanya-tanya bagaimana pula jika saya bukan Tun Mahathir tetapi ingin menganjurkan forum sedemikian? Adakah saya akan mendapat permit? Seterusnya , apabila saya menghentam kerajaan walaupun apa yang dihentam itu benar adakah saya akan dapat tidur selena Tun ? Ataupun sebaliknya saya perlu diherat ke ISA kerana dianggap menggugat keamanan dan keselamatan negara? Persoalan ketiga adakah mungkin segala kenyataan saya akan disiarkan di media tempatan yang sudah hampir memboikot kesemua berita mengenai pembangkang dan apatah lagi komentar Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Konklusinya daripada persoalan saya cukup mudah. Adakah kita akan dapat tidur lena dan mendapat layanan yang sebaik Tun sekiranya kita bertindak sepertinya?

Tun kini adalah seorang yang bebas seperti termaktub dalam perlembagaan termasuk kita. Kita semua adalah rakyat Malaysia yang dilindungi dan dijaga oleh perlembagaan negara. Oleh yang demikian , saya berharap perbincangan , perdebatan dan forum yang terbuka seperti yang diadakah oleh Tun itu dapat diadakah oleh semua orang tanpa mengira seseorang itu adalah cina , india , melayu ataupun orang dari kerajaan mahupun pembangkang

Kita semua bebas memberi ceramah politik , ekonomi , sosial dan agama secara bebas. Kita bebas mengkritik , berbincang dan berdebat secara terbuka. Kita semua berpaksi pada kebebasan bersuara dan berhimpun.

Media juga patut diberi kebebasan sepenuhnya dan sekiranya kenyataan Tun mengkritik kerajaan lebih teruk daripada orang lain yang mengkritik dan mengapakah pula orang lain selain Tun tidak dapat menembusi media tempatan kita apabila kita menyuarakan sesuatu ketidakpuasan dan kritikan?

Alangkah baiknya jika semua rakyat di negara ini mempunyai kebebasan sedemikian? Malangnya fenomenanya lain. Parti pembangkang sudahlah disekat dari media tempatan dan kini Suara Keadilan milik pembangkang masih belum mendapat permit. Apabila pembangkang ingin berceramah ataupun mengadakan forum begitu susah hendak mendapat kebenaran dan sering diganggu oleh Polis kita.

Lebih parah lagi apabila keadaan ini berlaku menjelang pilihan raya. Contoh yang paling jelas ialah pilihan raya di Pangkalan Pasir baru-baru ini kita ketahui bahawa saudari Azmin sendiri menghadapi masalah untuk memberi ceramah politik sehinggalah terpaksa memberi ceramah di sebuah bilik.

Kita semua mungkin bermusuhan dengan Tun. Kita mungkin tidak bersetuju dengan apa yang diutarakan oleh beliau. Namun , kita tidak boleh meninggalkan perjuangan kita untuk menuntut kebebasan media , bersuara dan berhimpun apabila Tun sendiri melakukannya. Walaupun kalian boleh benci Tun ataupun tidak bersetuju dengan pendapatnya tetapi beliau masih mempunyai haknya untuk berceramah, meluahkan isi hati , berhimpun dan apatah lagi mengkritik.

Begitu juga apabila kerajaan tidak suka pembangkang dan menggangap pembangkan sebagai ancaman. Namun begitu , layanan yang adil perlu diberikan kepada semua rakyat Malaysia seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

Salam Reforamsi
Salam Perjuangan
Salam Hormat

shenyeeaun.blogome.com

( kebebasan untuk semua tanpa mengira status dan asal usul dituntut !!! )

Jika Tun boleh mengapa kita tidak boleh?

2:33 AM  

Post a Comment

<< Home