Sunday, January 28, 2007

Program Kerja keADILan : Memantap Perjuangan

Saya amat terharu dan berbangga kerana ada penyertaan yang baik dalam 'retreat' atau program kerja di kalangan ahli-ahli MPT selama 2 hari pada hujung minggu yang lalu di Kuala Lumpur. Program tertutup ini turut disertai oleh wakil Wanita dan Angkatan Muda, NGO's serta tokoh-tokoh masyarakat dan usahawan yang mendukung perjuangan keADILan walaupun belum menyertai parti secara formal. Dato' Seri Anwar Ibrahim mengambil tugas sebagai Pengarah projek dan mengendalikan sendiri perjalanan program dengan tegas dan terikat dengan disiplin yang ketat.

Program ini sarat dengan perbincangan dan perbahasan ke arah usaha untuk menggarap tapak sokongan yang lebih luas, mobilisasi komitmen yang lebih untuk parti dan memantapkan perjuangan keADILan dalam menghadapi pilihan raya umum yang ke 12. Program ini juga disulami dengan aktiviti kerohanian termasuk Kuliah Subuh dan Kuliah Maghrib.

Retreat ini juga memberi pendedahan kepada Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang dan YB Lim Kit Siang secara berasingan untuk berdepan dengan pimpinan tertinggi keADILan dalam merongkai beberapa isu yang 'sensitif'. Umumnya, perbincangan berjalan baik. Saya merasa lega melihat permulaan sikap dan semangat baru untuk mencari titik pertemuan khususnya di antara PAS dan DAP.

DAP menegaskan dengan nyata kesediaan mereka untuk memulakan kerjasama dengan keADILan di Pulau Pinang.

Program kerja ini akan diteruskan di 5 buah negeri tumpuan dalam tempoh 2 bulan yang akan datang.

Thursday, January 25, 2007

FUTSAL Piala Azmin Ali

Satu pertandingan liga futsal akan dianjurkan pada 25 Februari 2007 mulai jam 9.00 pagi sehingga 3.00 petang di Ampang Sports Planet. Pertandingan ini adalah initiatif beberapa anak-anak muda di Gombak untuk melahirkan generasi yang sihat dan memperkasa semangat kesukanan yang tinggi.

Yuran penyertaan sebanyak RM 180.00 untuk setiap kumpulan yang diwakili oleh 8 orang pemain. Juara pertandingan akan mendapat piala pusingan dan wang tunai sejumlah RM 1,500.00. Hadiah-hadiah akan diberikan kepada juara pertandingan sehingga tempat ke 8.

Sesiapa yang berminat, bolehlah menghubungi Saudara Kamarul 019 322 8869.

Selamat bersukan.

Majlis Penerangan Isu-Isu Panas

Parti Keadilan Rakyat Bahagian Gombak akan menganjurkan majlis penerangan dan dialog mengenai isu-isu semasa pada 28 Januari 2007 (Ahad) jam 8.30 malam di Pejabat keADILan Bahagian Gombak, No. 16 - 1, Jalan Wangsa Setia, Wangsa Melawati.

Saya akan menjelaskan beberapa isu panas hari ini yang menuntut kita semua untuk bersama-sama melakukan perubahan yang besar dalam sistem kenegaraan di Malaysia.

Saya menyeru kepada semua pengundi di Parlimen Gombak dan kawasan sekitar untuk bersama-sama dalam majlis ini untuk kita berkongsi pengalaman dan pendapat bagi menanggani kegawatan pentadbiran BN hari ini.

Semoga kita bertemu di hujung minggu ini. Salam Perjuangan.

Rayuan Hukuman Penjara 18 bulan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar rayuan saya pada hari ini, Jumaat 26 Jan 2007 mulai jam 3.00 petang dan dijangka bersambung pada hari Isnin jam 10.00 pagi.

Saya mengemukakan rayuan untuk mengenepikan sabitan bersalah dan hukuman penjara 18 bulan atas tuduhan memberi keterangan palsu semasa perbicaraan kes Dato' Seri Anwar Ibrahim. Saya diwakili oleh peguam Encik C.V. Prabhakaran dan Encik Christopher Fernando.

Semoga Allah S.W.T. mempermudahkan urusan kita dalam perjuangan yang getir ini dan memberikan kemenangan kepada orang-orang yang sabar. Ameen.

Jom Bersukan

Saya mula bermain tennis setelah berehat hampir 6 bulan. Program riadah seumpama ini penting untuk menjaga kesihatan. Setiap hari Selasa, saya akan bermain selama 2 jam bersama jurulatih saya, Zul. Saya akan paparkan beberapa aksi saya yang terbaru !

Masyarakat India mula yakin dengan keADILan

Malam tadi (25 Jan 2007) saya diundang untuk bertemu dengan hampir 40 pemimpin masyarakat India dari sekitar kawasan Batu Caves, Kundang, Ampang dan Selayang. Umumnya, mereka terdiri dari bekas Ketua-Ketua Cawangan MIC yang kini sudah bertekad untuk bersama-sama keADILan.

Penganjur majlis, Saudara Rajan memberi komitmen yang nyata bahawa mereka yakin dengan dasar-dasar keADILan khususnya dasar ekonomi dan pendidikan yang menjamin keadilan dan kesejahteraan untuk semua kaum di Malaysia. Mereka juga tertarik dengan perwatakan keADILan yang berbilang kaum dan agama.

Saya diminta untuk mengupas dengan lebih lanjut dasar-dasar parti dan matlamat perjuangan parti. Saya mengajak pimpinan masyarakat India untuk melebarkan tapak sokongan untuk keADILan dalam pilihan raya akan datang.

Rumusan penting randau ini ialah mereka memberi komitmen untuk menarik lebih ramai masyarakat India menyertai keADILan dan mereka akan memulakan gerak kerja pilihan raya serta merta dengan membuka Pusat Khidmat Masyarakat di Batu Caves. Mereka juga akan mendaftarkan anak-anak muda masyarakat India yang berumur 21 tahun ke atas sebagai pemilih berdaftar dengan SPR.

Satu perhimpunan perdana bersama Dato' Seri Anwar Ibrahim akan disusun tidak lama lagi untuk menjana sokongan rakyat pelbagai kaum menjelang Pilihan Raya Umum ke 12.

Selamat Deepavali untuk semua masyarakat India yang beragama Hindu.

Tuesday, January 09, 2007

SPR akui kekuatan SISMEP 12

Parti Keadilan Rakyat (keADILan) mengalu-alukan saranan yang dibuat oleh Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya SPR distruktur semula dan undang-undang serta peraturan pilihan raya yang sudah lapuk itu dirombak.

Pengakuan terbuka oleh Pengerusi SPR mengesahkan dakwaan keADILan selama ini bahawa sistem pilihan raya di Malaysia masih tempang dan dicabuli dengan salahlaku yang jelas dan pengkhianatan terhadap prinsip-prinsip demokrasi.

keADILan telah memulakan proses mendedahkan bukti-bukti kukuh penyelewengan, penipuan dan kelemahan-kelemahan sistem pilihan raya di Malaysia yang mencabar kewibawaan SPR melalui satu sistem perisian komputer yang canggih yang dinamakan SISMEP 12. keADILan juga telah melancarkan sebuah dokumen penting “Sham Democracy : A Report on Malaysian Elections” pada September 2006 yang membuktikan bahawa kepincangan sistem pilihan raya di Malaysia amat ketara dan keperluan mendesak untuk menubuhkan suruhanjaya bebas bagi mengkaji sistem yang menjurus ke arah pilihan raya yang adil dan bebas.

Pengakuan Tan Sri Abdul Rashid adalah amat serius. Pengerusi SPR mestilah bertanggungjawab untuk melaksanakan reformasi menyeluruh dalam proses dan sistem pilihan raya di Malaysia supaya pilihan raya terjamin bersih, bebas dan adil. Sekiranya Tan Sri Rashid gagal memikul amanah ini, keADILan masih berpendirian menuntut beliau melaksanakan tanggungjawab moral dengan meletakkan jawatan serta merta. keADILan menyambut baik gesaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim supaya Tan Sri Abdul Rashid tidak terus menerus menjadi boneka UMNO dan kerajaan Barisan Nasional. Apakah rasionalnya meneruskan pilihan raya di Malaysia sekiranya SPR gagal melaksanakan agenda pembaharuan dalam pengendalian pilihan raya.

Ternyata juga perkembangan ini menjelaskan bahawa hanya pimpinan politik yang tidak mempunyai kewibawaan dan integriti yang mampu mengekalkan sistem yang lemah, tempang dan kecundang.

keADILan komited untuk memulihkan dan memperbaharui sistem demokrasi di Malaysia. Matlamat ini merangkumi sistem pilihan raya yang bersih, bebas dan adil, menjamin badan kehakiman yang bebas, media yang terbuka serta pemuliharaan hak asasi manusia.

keADILan akan mendukung usaha murni parti-parti politik yang progresif dan badan-badan bukan kerajaan atas nama BERSIH untuk menuntut pembaharuan dan reformasi dalam sistem pilihan raya di Malaysia.