Friday, February 09, 2007

Program Pemerkasaan Parti

Parti Keadilan Rakyat Bahagian Gombak telah mengadakan Taklimat Pemerkasaan Parti secara tertutup kepada Pengerusi Perhubungan Negeri Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 4 Februari 2007 yang lalu. Taklimat disampaikan oleh saya selaku Ketua Bahagian Gombak. Lebih 70 orang pemimpin utama parti yang terdiri dari AJK Bahagian, AJK Wanita Bahagian dan AJK Angkatan Muda Bahagian Gombak hadir dalam perjumpaan selama lebih satu jam di pejabat keADILan Bahagian Gombak.

Taklimat ini berkisar kepada agenda dan gerak kerja parti di Bahagian Gombak untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 12. Ini termasuklah aktiviti culaan melalui Borang Kajian Selidik (BKS) berdasarkan profil pemilih di dalam SISMEP, meningkatkan usaha untuk mengedarkan risalah penjelasan isu dan mesej parti kepada kumpulan sasaran di setiap Saluran dan Daerah Mengundi dan mengenalpasti pengundi-pengundi atas pagar serta mendaftarkan pengundi-pengundi muda.

Gombak merupakan bahagian pertama yang berjaya melengkapkan perlantikan 40 Ketua-Ketua Jawatankuasa Daerah Mengundi (JDM) yang bertanggungjawab untuk mengalih sokongan rakyat kepada keADILan di Daerah Mengundi masing-masing.

Parti perlu menjana perubahan. Untuk maksud ini, parti perlu menggarap semua kekuatan untuk melebarkan tapak sokongan kepada parti.

Tan Sri Khalid mengajak ahli-ahli dan pimpinan parti untuk bekerja kuat dan bersama mengubah minda rakyat supaya rakyat Malaysia memahami tanggungjawab mereka dalam usaha kita untuk menyuburkan sistem demokrasi di Malaysia.

Pengerusi Perhubungan Negeri amat gembira dengan pengurusan dan pentadbiran parti di Bahagian Gombak dan mencadangkan supaya Gombak dapat membantu bahagian-bahagian yang lain untuk menggerakkan jentera parti.

Saya dan teman-teman di Gombak akan terus berusaha untuk memantapkan perjuangan ini dan kami akan membawa obor perjuangan keADILan ke seluruh negara.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home