Saturday, November 17, 2007

BREAKING NEWS !

Blog ini mempunyai wajah baru dan dipindahkan ke blog baru di alamat http://blog.azminali.com/

Saturday, March 24, 2007

Anak muda Tionghua yakin dengan keADILan

Ceramah saya di Jalan Enggang, Keramat malam tadi mendapat tentangan dari UMNO sehingga memaksa pihak polis tidak meluluskan permit. Namun, pihak penganjur dan tuan rumah tetap mendesak majlis penerangan diteruskan. Sambutan dari penduduk tempatan sekitar Ampang dan Keramat cukup memberangsangkan. Saudara Saari Sungip, Ketua Penerangan PAS Gombak dan Saudara Hasmi Hashim, Ketua Bahagian keADILan Parit Sulong turut sama menjayakan majlis ini.

Sejurus selesai ceramah pada jam 11.55 malam, saya dihampiri oleh seorang anak muda Tionghua yang menetap di Taman Tun Abdul Razak, Ampang. Beliau berpuashati dengan dasar-dasar yang dibawa oleh keADILan khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan hubungan di antara kaum dan agama. Anak muda Tionghua ini secara spontan menawarkan khidmatnya untuk membantu memperkasa keADILan khususnya di Ampang dan Gombak. Beliau mengambil nombor telefon bimbit saya dan pohon pertemuan dalam masa terdekat untuk membicarakan persoalan penyertaan beliau dan anak-anak muda Tionghua yang lain dalam menjayakan agenda perubahan yang dipimpin oleh keADILan.

Saya cukup yakin perkembangan ini akan terus kita saksikan apabila pimpinan dan ahli-ahli parti dapat menumpukan tenaga dan perhatian mereka untuk memberikan penerangan kepada rakyat mengenai isu-isu rakyat.

Pengerusi SPR terus melatah

Semenjak kebelakangan ini, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, Pengerusi SPR sering melatah. Wataknya tidak ubah seperti Ketua UMNO Cawangan atau Pengerusi JKKK. Kenyataan media yang dibuat oleh Rashid tidak menjawab persoalan pokok yang menghakis kewibawaan SPR tetapi jawapan-jawapan yang diberikan tidak tuntas dan tidak mengambarkan profesionalisma dan kredibiliti seorang ketua yang menguruskan badan bebas seperti SPR.

Kenyataan Rashid yang dilaporkan dalam akhbar-akhbar yang dikuasai oleh kroni Barisan Nasional pada 22 Mac 2007 yang mencabar parti-parti politik untuk membawa SPR ke mahkamah adalah gimik dan beremosi. Apakah Rashid sudah lupa ? Apakah Rashid mengaminkan kenyataan Mahathir bahawa "Melayu mudah lupa" ?

Penghakiman yang dibuat oleh Yang Arif Muhammad Kamil pada tahun 2001 berhubung pendaftaran bukan warganegara Malaysia sebagai pemilih dan kehadiran pengundi hantu dalam Daftar Pemilih DUN Likas; sehingga mahkamah pilihan raya membuat penghakiman untuk diadakan semula Pilihan Raya Kecil DUN Likas; serta penghakiman dalam mahkamah pilihan raya berhubung petisyen Pilihan Raya Umum ke 11 Parlimen Gombak sudah cukup untuk membuktikan penyelewengan dan penipuan dalam proses dan perjalanan pilihan raya di Malaysia yang dikendalikan oleh SPR.

Justeru itu, Rashid tidak perlu mencabar lagi. Saya mengajak Rashid untuk tumpu kerja dan segera memulakan reformasi sistem pilihan raya secara menyeluruh. keADILan akan terus menuntut SPR memulakan langkah awal reformasi sistem pilihan raya dengan menghapuskan undi pos di kalangan anggota tentera dan polis, membersihkan daftar pemilih dan membenarkan penggunaan dakwat kekal untuk pemilih membuang undi.

Semoga Rashid dan SPR dapat menyelamatkan Malaysia dan rakyat Malaysia. Usah bersekongkol dengan Mugabe dan Zimbabwe.

Makmurkan demokrasi

Saya bersyukur dan berterima kasih di atas pernyataan kepercayaan dan keyakinan ahli-ahli parti yang terus mencalonkan saya sebagai Timbalan Presiden dalam Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian masing-masing menjelang Kongres Tahunan parti pada bulan Mei yang akan datang. Sehingga hari ini, jumlah pencalonan yang saya terima dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak amat memberangsangkan; justeru meyakinkan saya bahawa prinsip dan amalan demokrasi amat subur dalam keADILan. Saya sendiri berpegang teguh kepada prinsip ini dan menyeru ahli-ahli parti untuk memakmurkan amalan demokrasi dalam parti dan menjaga etika dalam proses ini.

Saya percaya pernyataan sokongan yang saya terima dari ahli-ahli parti adalah berdasarkan keyakinan dan penghargaan mereka di atas sumbangan saya dan rekod kerja saya dalam usaha memperkasa parti dari awal penubuhan keADILan pada tahun 1999.

Pemilihan dalam parti adalah amalan yang sihat selagi kita menjaga etika dalam berkempen. Seseorang demokrat tidak harus gusar atau takut berdepan dengan proses demokrasi. Yang lebih penting ialah parti kita, keADILan diasaskan kepada prinsip demokrasi. Justeru itu, prinsip-prinsip ini mestilah menjadi amalan kita dalam parti. Proses dan amalan demokrasi yang sihat tidak akan memecahkan perpaduan dalaman parti. Hujah yang mengatakan pemilihan pucuk pimpinan akan memecahkan perpaduan dan menghancurkan parti adalah alasan yang meleset dan jumut. Ianya menjadi amalan orang yang dayus dan bertopengkan slogan demokrasi. Inilah amalan UMNO. Inilah juga amalan orang yang masih berkiblatkan UMNO.

Saya cukup yakin dengan kematangan keADILan untuk mengurus proses demokrasi dalam parti. Kejayaan kita mengurus proses demokrasi dalaman parti akan pasti memberikan imej yang baik kepada rakyat dan meyakinkan kita untuk menyertai pilihan raya umum dengan sokongan yang lebih besar di kalangan rakyat.

Saya meminta tenaga dan perhatian ahli-ahli parti dan teman-teman pimpinan ditumpukan sepenuhnya untuk memakmurkan demokrasi dalam keADILan.

JKP : keADILan bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke 12

Tarikh Pilihan Raya Umum ke 12 terus menjadi teka teki. Bahang pilihan raya semakin panas. Faktor Anwar Ibrahim menjadi perbualan di pelbagai peringkat masyarakat samada di kedai kopi mahupun pejabat-pejabat kerajaan; di gedung-gedung korporat mahupun di pusat-pusat pengajian tinggi. Masyarakat Malaysia di bandar dan desa, petani dan nelayan, pendidik dan pekerja, usahawan dan budayawan, cendekiawan dan teknokrat terus yakin bahawa faktor kepimpinan Anwar akan membawa perubahan besar dalam pilihan raya umum yang akan datang. Yang menyanggah hanya pemimpin elit UMNO; yang sebenarnya semakin menikus dengan kelantangan Anwar yang petah bicara dan bahas isu-isu rakyat.

Demi menangani cabaran Pilihan Raya Umum ke 12, keADILan terus maju ke hadapan dengan pembentukan Jawatankuasa Pemandu (JKP) atau 'steering committee' yang diketuai oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim. JKP dianggotai oleh 5 badan utama parti iaitu Wanita, Angkatan Muda, Penerangan, MTK dan Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat atau JPRP. Matlamat utama JKP ialah melaksanakan strategi pilihan raya yang komprehensif yang meliputi strategi komunikasi yang berkesan, menggarap sokongan baru di kalangan generasi muda dan golongan profesional, menggubal manifesto rakyat yang merangkumi isu kepimpinan negara, ekonomi, pendidikan dan kesihatan, serta mengenal pasti kawasan-kawasan tumpuan dan calon-calon muda pelbagai kaum yang berwibawa dan komited dengan perjuangan keADILan. Saya diberikan amanah untuk membantu mengukuhkan perlaksanaannya.

Senarai kawasan-kawasan tumpuan yang berpotensi untuk keADILan sudahpun selesai disenaraipendekkan dan akan diumumkan dalam masa yang sesuai. Sementara kita tidak menafikan sumbangan orang-orang lama dalam perjuangan ini, keADILan sedang mengenalpasti calon-calon muda profesional yang komited dengan perjuangan keADILan untuk ditonjolkan dalam pilihan raya nanti.

Mesej pilihan raya dan bahan komunikasi untuk rakyat sedang dikemaskinikan termasuk risalah-risalah dan CD yang mengandungi penjelasan-penjelasan isu-isu semasa khususnya ekonomi, pendidikan, kesihatan dan matlamat perjuangan keADILan.

Jawatankuasa ini memerlukan keupayaan tenaga yang mantap untuk menjayakan hasrat parti dan harapan rakyat agar keADILan memimpin agenda perubahan dan memenangi Pilihan Raya Umum yang akan datang.

SAYA TIDAK RAKUS POLITIK

KENYATAAN MEDIA MOHAMED AZMIN ALI PADA 21 MAC 2007 BERHUBUNG PEMILIHAN KEPIMPINAN PARTI DALAM KONGRES 2007


Sejak pengumuman rasmi Dr. Syed Husin Ali dalam Kongres Tahunan 2006 untuk tidak bertanding jawatan Timbalan Presiden, ramai ahli-ahli parti dan teman-teman dalam parti telah menanyakan pendirian saya tentang pemilihan dalam Kongres Parti pada tahun ini dan ada yang mencadangkan agar saya menawarkan khidmat untuk jawatan Timbalan Presiden. Saya menyatakan terima kasih dengan pernyataan kepercayaan mereka, namun saya menegaskan bahawa saya belum bersedia memikirkan perkara tersebut dan meminta tenaga dan perhatian ditumpukan sepenuhnya untuk memperkasa keADILan dan mengukuhkan perpaduan di dalam parti.

Meskipun begitu saya terus mendepani dengan persoalan pemilihan sehingga ia menjadi perbualan di pelbagai peringkat parti. Maklumbalas dari teman-teman serta pimpinan pelbagai peringkat menyatakan sikap bahawa sementara mereka tetap menghormati dan menyanjung sumbangan dan pengorbanan Dr. Syed Husin Ali tetapi mereka prihatin dan inginkan kesinambungan perjuangan. Pandangan ini dan gesaan mereka yang dinyatakan semakin terbuka di kebelakangan ini.

Saya bersyukur dan berterima kasih di atas keyakinan ahli-ahli parti di seluruh negara yang terus mencalonkan saya sebagai Timbalan Presiden dalam Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian masing-masing menjelang Kongres Tahunan parti pada bulan Mei yang akan datang. Sehingga hari ini, jumlah pencalonan yang saya terima amat memberangsangkan; justeru meyakinkan saya bahawa prinsip dan amalan demokrasi amat subur dalam keADILan. Saya sendiri berpegang teguh kepada prinsip ini dan menyeru ahli-ahli parti untuk memakmurkan amalan demokrasi dalam parti dan menjaga etika dalam proses ini. Saya percaya pernyataan sokongan yang saya terima dari ahli-ahli parti adalah berdasarkan keyakinan dan penghargaan mereka di atas sumbangan saya dan rekod kerja saya dalam usaha memperkasa parti dari awal penubuhan keADILan pada tahun 1999.

Namun, pada awal bulan Februari 2007, Dr. Syed Husin menyatakan kesediaan beliau untuk melanjutkan khidmatnya sebagai Timbalan Presiden dalam kongres akan datang. Saya menghormati dan menghargai kesediaan Dr. Syed Husin untuk terus berkhidmat dalam saf kepimpinan utama parti.

Sementara saya akur dengan kehendak dan keperihatinan ahli-ahli parti, saya juga berpegang teguh kepada pendekatan muafakat demi keharmonian parti. Saya telah berbincang dari awal lagi dengan YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail, Presiden keADILan dan Penasihat keADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta beberapa pimpinan parti di peringkat akar umbi untuk memastikan kesinambungan kepimpinan parti mantap dengan pasukan yang dinamik dan mampu memperkasa parti.

Saya terdorong dengan iltizam untuk menerima gesaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk membantu beliau dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang bagi menjayakan agenda perubahan. Usaha ini memerlukan gabungan kekuatan dan pengalaman silam serta keberanian dan kebijaksanaan baru; tegasnya gabungan tua dan muda; memadukan segenap lapisan rakyat, bandar dan desa, petani dan nelayan, pendidik dan pekerja, usahawan dan budayawan, cendekiawan dan teknokrat, untuk bergerak sebagai satu pasukan.

Demi menangani cabaran Pilihan Raya Umum ke 12, Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Penasihat telah mengambil initiatif membentuk Jawatankuasa Pemandu (JKP) Pilihan Raya Umum. Jawatankuasa ini memerlukan keupayaan tenaga yang mantap untuk menjayakan hasrat parti dan harapan rakyat agar keADILan memimpin agenda perubahan dan memenangi Pilihan Raya Umum yang akan datang. Saya diberikan tanggungjawab untuk memantapkan matlamat utama JKP iaitu melaksanakan strategi pilihan raya yang komprehensif yang meliputi strategi komunikasi yang berkesan, menggarap sokongan baru di kalangan generasi muda dan golongan profesional, menggubal manifesto rakyat yang merangkumi isu kepimpinan negara, ekonomi, pendidikan dan kesihatan, serta mengenal pasti kawasan-kawasan tumpuan dan calon-calon muda pelbagai kaum yang berwibawa dan komited dengan perjuangan keADILan.

Menyedari hakikat ini maka saya dengan penuh keinsafan mengambil pendirian untuk tidak bertanding jawatan Timbalan Presiden dan apa-apa jawatan sekalipun dalam pemilihan pucuk pimpinan parti pada tahun ini. Saya menyeru kepada seluruh ahli-ahli parti untuk memberikan sokongan yang kuat dan padu kepada Dr. Syed Husin Ali sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat.

Saya akan terus memberi khidmat saya kepada parti dan menyeru ahli-ahli parti juga mengambil pendirian yang sama agar kita dapat bergerak senada dan sederap.

Friday, March 23, 2007

Majlis Penerangan

keADILan Bahagian Ampang mengundang saya untuk menyampaikan ceramah di Jalan Enggang Selatan, Keramat pada hari Sabtu, 24 Mac 2007 jam 9.00 malam. Saya mendapat perkhabaran pihak polis sudah menerima tekanan dari UMNO untuk tidak meluluskan permit untuk maksud di atas. Apakah pentadbiran Hadhari mampu mengurus demokrasi ?